Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Juara 12 Kali Berturut-turut: PruBSN Kekal Kedudukan Teratas Takaful Keluarga Di Anugerah MTA

26/05/2025 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) sekali lagi dinobatkan sebagai Pengendali Takaful Terbaik Malaysia – Perniagaan Agensi Takaful Keluarga untuk tahun ke-12 berturut-turut di Anugerah Bintang Takaful 2025 anjuran Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, PruBSN memaklumkan pengiktirafan berterusan itu mengukuhkan lagi kecemerlangan syarikat dalam segmen Takaful Keluarga sejak penubuhannya pada 2006.

Selama hampir dua dekad yang lepas, syarikat itu menunjukkan pertumbuhan signifikan sambil mengekalkan fokus pada misi untuk menyediakan penyelesaian perlindungan patuh syariah yang mudah diakses kepada semua rakyat Malaysia. 

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata syarikat tetap komited untuk menawarkan penyelesaian perlindungan yang berkualiti tinggi dan mampu milik, walaupun berdepan dengan inflasi dan peningkatan tahunan sebanyak 16 peratus dalam kos tuntutan perubatan antara tahun 2021 hingga 2023.

“Walaupun berdepan cabaran, kami tetap komited untuk menawarkan penyelesaian perlindungan berkualiti yang mencapai keseimbangan antara kemampuan dan perlindungan menyeluruh,” katanya.

“Kami terus memberi tumpuan kepada inovasi yang mampan – meningkatkan nilai untuk pelanggan kami tanpa menjejaskan perlindungan dan kualiti perkhidmatan. Melalui pendidikan berterusan, kami memastikan pelanggan kami diberi kuasa untuk membuat keputusan yang bijak,” katanya dalam kenyataan itu.

Ad Banner

Wan Saifulrizal berkata pada 2024, PruBSN telah membayar sejumlah RM1.2 bilion bagi semua tuntutan, mencerminkan dedikasi syarikat dalam menunaikan janji di saat pelanggan memerlukan sokongan.

PruBSN turut memperluas rangkaian produknya, termasuk PruBSN AnugerahMax, Asas360, Medik Asas, Crisis TotalCare, Medic TotalCare dan Health360, yang dibangunkan bagi memenuhi permintaan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat dan ketidaktentuan kewangan.

Berteraskan semangat Ta’awun (prinsip pertolongan bersama), PruBSN turut menerajui inisiatif  Mikrotakaful Jariyah yang menawarkan perlindungan percuma kepada keluarga dalam segmen pendapatan B40.

Sejak diperkenalkan, inisiatif ini telah menyokong komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, dengan menyediakan perlindungan kepada lebih 188,000 individu menyaksikan jumlah tuntutan yang dibayar hampir RM5 juta.

Pada majlis anugerah yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), PruBSN turut meraih kedudukan teratas dalam beberapa kategori lain, termasuk Pengurus Agensi Terbaik (Langsung), Anugerah Pembina MDRT serta produk Takaful terbaik dalam Pelan Penyakit Kritikal, Pelan Bertempoh, Dana Takaful Sosial serta Mikrotakaful.

PruBSN turut menerima beberapa pengiktirafan lain di platform industri yang berprestij,  termasuk Produk Takaful Baharu Terbaik di Insurance Asia Awards 2024, Kecemerlangan dalam Pemasaran Bukan Keuntungan/Sektor Awam di Marketing Excellence Awards 2024 dan Pengalaman Perkhidmatan Terbaik Malaysia di Asian Experience Awards 2024.

Dengan lebih 16,000 perunding Takaful di seluruh negara, PruBSN berikrar untuk menyediakan penyelesaian perlindungan yang berasaskan nilai dan mampan, demi menyokong kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan kewangan semua rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan