NIBONG TEBAL, 27 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) bertindak ‘merehatkan’ guru yang terlibat dalam hubungan terlarang dengan seorang juruteknik pendawaian daripada mengajar sehingga siasatan dalaman berhubung isu itu selesai.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata meskipun guru itu direhatkan daripada mengajar, beliau masih menjalankan tugas sebagai penjawat awam dan tindakan tersebut diambil agar siasatan yang dilakukan tidak terganggu.
“Saya ingin memberikan jaminan kepada semua pihak apabila perkara-perkara yang terkait rapat dengan integriti guru dan akhlak guru, KPM mengambilnya secara serius,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Dermasiswa Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia anjuran Farm Fresh Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Sheh Barakbah di sini hari ini.
Beliau berkata KPM mengambil tanggungjawab penuh untuk memastikan guru-guru di negara ini mematuhi semua integriti dan etika keguruan yang telah ditetapkan oleh kementerian.
Fadhlina juga berkata KPM akan sentiasa mengingatkan guru-guru tentang tingkah laku mereka sama ada di dalam mahupun di luar sekolah kerana warga pendidik membawa imej keguruan yang sentiasa dilihat sebagai suri teladan dalam masyarakat.
Baru-baru ini, tular di media sosial hubungan terlarang antara seorang guru wanita dengan lelaki yang menawarkan perkhidmatan pemasangan kamera litar tertutup dan pendawaian elektrik di rumah meskipun masing-masing sudah berumah tangga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial