KUANTAN, 10 Jun (Bernama) -- Parlimen Belia Malaysia perlu diperluaskan sebagai platform melahirkan barisan kepimpinan negara pada masa depan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata ketika ini Parlimen Belia lebih menumpukan kepada memberi pendedahan untuk generasi muda dalam membincangkan dasar belia dan negara.
“Sekarang ini objektif Parlimen Belia apabila ditubuhkan untuk melahirkan pemimpin belia. Saya mengharapkan suatu hari nanti, insya-Allah, mereka juga akan menjadi Ahli Parlimen sebenar dan seterusnya memimpin negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Bicara Kepimpinan di Astaka Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Kampus Gambang hari ini.
Johari berkata Parlimen Belia juga harus didedahkan dengan pelbagai sistem demokrasi di peringkat antarabangsa bagi mencari sistem alternatif yang lebih ideal untuk diguna pakai di Malaysia.
“Sistem yang kita ada sekarang ialah first past the post dan berasaskan kawasan. Mungkin juga pada masa depan, mereka (belia) sendiri akan membuat penilaian dan memilih untuk mempromosikan sistem berbeza,” katanya.
Selain Parlimen Belia, Johari berkata pihaknya juga telah menyediakan program Sekolah Parlimen dengan usaha sama sekolah menengah luar bandar dalam melahirkan generasi pemimpin masa depan yang lebih peka tentang badan legislatif itu.
“Kita anjurkan program ini untuk membuka minda mereka. Apabila mereka ini datang ke Parlimen…kita nak tanamkan keyakinan, kalau mereka belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi pemimpin, peluang naik memang ada,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial