Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pengecualian Cukai Jualan Bagi Buah-buahan Tempatan Kukuhkan Ekonomi Negara - Pakar

20/06/2025 03:46 PM

Oleh Nor Farah Aqilah Mohd Sham dan Siti Maisarah Abdul Ghani

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Langkah kerajaan mengekalkan pengecualian Cukai Jualan bagi buah-buahan tempatan bukan sahaja akan menggalakkan rakyat Malaysia mengambil hasil pertanian itu dalam diet harian, tetapi juga berupaya menyumbang kepada ekonomi negara, menurut pakar.

Timbalan Dekan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Melaka Kampus Jasin, Prof Madya Dr Fazleen Abdul Fatah berkata hal ini kerana selain berkhasiat, dengan pengekalan kadar Cukai Jualan sifar peratus itu juga buah-buahan tempatan akan dijual pada harga berpatutan dan mampu dibeli rakyat Malaysia.

“Buah-buahan tempatan seperti betik dan mangga memang sangat kaya dengan pelbagai khasiat antaranya vitamin, mineral, enzim, dan serat yang baik dalam mengatasi masalah kulit, sel dan jantung.

“Kandungan sebatian bioaktif yang terdapat dalam buah-buahan tempatan juga berupaya bertindak sebagai antioksidan semula jadi, meningkatkan sistem imun, menurunkan risiko penyakit kardiovaskular dan banyak lagi,” katanya kepada Bernama.

Fazleen berkata buah-buahan tempatan juga akan lebih mudah didapati kerana ia tidak perlu melalui tempoh transit yang panjang untuk berada di pasaran berbanding buah-buahan import.

“Pembelian buah-buahan tempatan juga dapat membantu memastikan industri pertanian negara terus berkembang sekali gus menstabilkan sektor makanan,” katanya.

Pensyarah di Jabatan Pengurusan Perkhidmatan Makanan, UiTM Puncak Alam, Selangor Prof Madya Dr Zuraini Mat Issa@Zakaria pula berkata Malaysia dapat mengurangkan kebergantungan kepada buah-buahan import sekiranya masyarakat lebih memilih buah-buahan tempatan.

“Selain terpaksa mengeluarkan kos (pengimportan buah-buahan negara luar) yang tinggi, ia juga memberi kesan kepada jejak karbon dan alam sekitar kerana melibatkan perjalanan jauh, penggunaan tenaga yang tinggi (bagi tujuan penyimpanan dan pembungkusan) dan pelepasan gas rumah hijau,” katanya. 

Sehubungan dengan itu, beliau menyokong inisiatif kerajaan yang tidak mengenakan Cukai Jualan terhadap barangan keperluan asas harian antaranya melibatkan buah-buahan tempatan di negara ini, bermula pada 1 Julai ini.

Bagaimanapun, Zuraini berkata wajar sekiranya pihak kerajaan mengenakan cukai terhadap snek dan makanan berproses yang tidak sihat berikutan ia menjadi antara penyumbang kepada masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes dan kanser dalam kalangan masyarakat.

“Apabila buah-buahan tempatan menjadi pilihan yang lebih murah berbanding snek atau makanan berproses, rakyat akan terdorong memilih makanan yang lebih sihat, justeru akan berlaku peningkatan permintaan terhadap buah-buahan tempatan.

“Dengan cara ini, ia dapat menggalakkan pengeluaran domestik dan menyumbang kepada kestabilan sektor agromakanan negara,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam Mazuin Kamarul Zaman berkata menerusi langkah itu, harga buah tempatan akan kekal rendah kerana tidak dikenakan beban cukai sekali gus menggalakkan pengguna memilih buah sebagai snek atau hidangan harian.

“Untuk itu, masyarakat disarankan membeli buah-buahan tempatan kerana lebih segar dan harga yang berpatutan berbanding buah import,” katanya.

Beliau berkata sokongan kepada peniaga tempatan dan pasar tani yang menjual hasil pertanian segar daripada pelbagai pihak antaranya melalui pendidikan di sekolah, media, dan komuniti setempat perlu berterusan bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai kebaikan buah-buahan tempatan.

“Ibu bapa digalakkan menunjukkan contoh yang baik dengan menyediakan buah di rumah secara konsisten, hal ini dapat membina tabiat pemakanan sihat dalam kalangan keluarga dan memberikan kesedaran terhadap manfaat buah tempatan kepada anak-anak sejak usia muda lagi,” katanya.

Pada 9 Jun lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menerusi kenyataan mengenai pelaksanaan semakan Cukai Jualan memaklumkan antara barangan asas yang Cukai Jualannya kekal sifar peratus ialah buah-buahan tempatan.    

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan