ST. PETERSBURG, 20 Jun (Bernama-RIA Novosti) -- Presiden Rusia Vladimir Putin berkata pada Jumaat bahawa hubungan antara negara anggota BRICS semakin kukuh dan perdagangan bersama terus berkembang, dengan jumlah dagangan antara negara-negara terlibat kini melebihi US$1 trilion.
“Perhatian khusus diberikan kepada usaha memperkukuh hubungan dalam BRICS. Jumlah dagangan bersama antara negara kita telah pun melebihi US$1 trilion dan terus meningkat. Semua ini merupakan elemen penting dalam platform pertumbuhan global.
“Dan semuanya berasaskan prinsip utama BRICS - iaitu konsensus, kesamaan dan pertimbangan terhadap kepentingan antara satu sama lain,” kata Putin semasa sesi pleno Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF) 2025, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.
Putin berkata negara-negara BRICS kini melaksanakan pelbagai inisiatif berskala besar, termasuk dalam bidang tenaga nuklear dan robotik, sambil menambah bahawa sumbangan ekonomi BRICS kepada ekonomi global telah meningkat dua kali ganda sejak awal abad ini dan dijangka terus berkembang.
-- BERNAMA-RIA NOVOSTI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial