Pesara Rugi Setengah Juta Akibat Terperdaya Pelaburan Palsu Di Facebook

20/06/2025 11:46 PM

JOHOR BAHRU, 20 Jun (Bernama) – Seorang pesara swasta kerugian RM535,766 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian, yang ditawarkan menerusi iklan di aplikasi Facebook.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada lelaki tempatan berusia 57 tahun pada Selasa lepas, yang mendakwa mengalami kerugian lebih RM500,000.

Beliau berkata mangsa melihat iklan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat di Facebook pada 13 Mac, sebelum tertarik dan menekan pautan yang diberikan.

“Selepas itu, mangsa telah membuat sebanyak 26 transaksi pembayaran ke dalam lima akaun bank berbeza antara 13 Mac hingga 5 Jun, dengan jumlah keseluruhan RM535,766. Mangsa turut diminta membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan hasil ‘keuntungan pelaburan’, namun permintaan itu gagal ditunaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas segala usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan itu gagal.

“Siasatan awal menerusi platform Semak Mule CCID mendapati semua lima akaun yang terlibat mempunyai 22 rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan,” katanya.

Mohd Sohaimi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan turut menjurus kepada penglibatan pemilik akaun atau keldai akaun, sekiranya ada.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan