Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kempen Jualan Mega Malaysia Bermula, Tawar Promosi Menarik Seluruh Negara

20/06/2025 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Musim beli-belah paling dinantikan iaitu Kempen Jualan Mega Malaysia (MMSC) 2025 bermula hari ini sehingga 31 Julai, menawarkan pelbagai promosi dan pengalaman menarik di seluruh negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Kempen anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Mastercard, melibatkan penyertaan lebih 100 pemain industri dan 150 aktiviti terpilih, dengan tawaran tiada tandingan, ganjaran eksklusif dan pengalaman merentasi sektor daripada beli-belah, hospitaliti, kesihatan, hiburan dan perjalanan udara.

“Inisiatif di seluruh negara ini bertujuan merancakkan pelancongan dan perbelanjaan domestik dan luar negara, sebagai persediaan menjelang VM2026,” menurut Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini. 

Antara tarikan utama MMSC 2025 ialah Midnight Sales Fiesta di AEON Mall Bukit Indah, Johor pada 25 dan 26 Julai dengan tawaran eksklusif, persembahan, cabutan bertuah dan bazar makanan.

Selain itu, Miss SHOPia Happy Hour menawarkan jualan kilat dan hadiah dengan perbelanjaan minimum RM300 diadakan di Bintang Megamall (4-6 Julai) dan Permaisuri Imperial City Mall (11-13 Julai) kedua-duanya di Miri, Sarawak.

Tarikan lain termasuk Spice and Soul of Malaysia yang memberi peluang pengunjung menikmati masakan tradisional negara ini, sambil menyaksikan persembahan kebudayaan di hotel terpilih sekitar Lembah Klang. 

Penjimatan hebat sehingga 85 peratus menanti pembeli di pusat beli-belah dan premis perniagaan mengambil bahagian di seluruh negara, selain terdapat peluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM250,000 termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) Jaecoo J7 dan penginapan mewah hotel menerusi program Spend and Win.

Selain itu, tawaran musim durian membolehkan peminat raja buah menempah penginapan hotel selama dua hari satu malam di Pulau Pinang dan menikmati potongan 50 peratus bagi bufet buah serta pengalaman eksklusif dusun durian.

Kempen itu disokong Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK Malaysia), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia (MRCA), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA) dan Malaysia Aviation Group (MAG).

Malaysia Airlines juga menawarkan potongan sehingga 30 peratus penerbangan masuk ke Malaysia dari pasaran utama termasuk Australia, New Zealand, United Kingdom, Jepun, India, Korea Selatan, Perancis dan negara ASEAN, sebagai sebahagian daripada promosi.

“MMSC 2025 memainkan peranan penting membina momentum menuju VM2026 dengan matlamat memperkukuh profil Malaysia sebagai destinasi beli-belah, percutian dan pelancongan budaya utama,” katanya.

Senarai penuh tawaran dan acara boleh didapati di laman web rasmi Tourism Malaysia www.malaysia.travel/explore/national-sales-campaign.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan