AGC Nafi "Pendakwaan Cacat" Dalam Kes SRC Kedua Libatkan Najib

21/06/2025 12:39 AM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Dakwaan pihak tertentu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menjalankan “pendakwaan cacat” dalam kes kedua SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah tidak berasas.

AGC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa komited dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya menurut Perlembagaan Persekutuan dengan berintegriti, saksama dan menghormati proses pengadilan.

Bagaimanapun jabatan itu akur dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas perdana menteri itu daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat berjumlah RM27 juta.

“Kes berkenaan telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi pada 7 Feb 2019 dan telah ditetapkan untuk perbicaraan sebanyak lima kali pada Jun 2020, Julai hingga Ogos 2021, Mac hingga April 2022, September 2024 serta bulan April dan Mei 2025.

“Namun, kesemua tarikh perbicaraan kes telah ditangguhkan atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan kerana pandemik COVID-19, permohonan pihak peguam bela tertuduh, atau permohonan pihak pendakwaan sendiri,” menurut kenyatan itu.

Menurut kenyataan itu permohonan penangguhan yang dibuat oleh pihak pendakwaan adalah kerana prosiding perbicaraan kes SRC pertama masih berjalan pada masa itu di peringkat Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, sehingga selesai sepenuhnya pada 31 Mac 2023. 

Dalam masa yang sama prosiding perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga telah bermula ketika kes SRC pertama masih belum selesai.

“Kedua-dua kes di atas melibatkan pemakaian sebahagian dokumen material yang akan digunakan dalam perbicaraan kes SRC kedua.

“Memandangkan dokumen berkenaan adalah material untuk perbicaraan kes SRC kedua, pihak pendakwaan tiada pilihan lain kecuali terpaksa menunggu sehingga dokumen material berkenaan diperoleh iaitu sehingga prosiding perbicaraan kes 1MDB selesai.

“Perlu ditekankan bahawa dokumen material tersebut telah tersedia, namun sedang diguna pakai sebagai keterangan dalam perbicaraan 1MDB yang masih sedang dibicarakan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan AGC itu pihak pendakwaan telah memohon untuk diberikan masa agar dapat mengumpulkan kesemua dokumen material berkenaan untuk dikemukakan sebagai bukti dan keterangan dalam perbicaraan kes SRC kedua.

“Kelewatan ini bukan disengajakan tetapi adalah untuk memastikan integriti dokumen sebagai keterangan dalam perbicaraan sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Hakim Muniandy yang melepas tanpa membebaskan Najib daripada tiga pertuduhan itu, berkata kes itu telah tergantung selama enam tahun sejak 2019 tanpa sebarang keterangan saksi dikemukakan, hanya mengalami beberapa penangguhan sekali gus menunjukkan bahawa pihak pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan.

Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Pada 2 Sept 2022, beliau telah memfailkan petisyen pengampunan diraja dan pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan