Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kembara Riuh Pesta Itu-Ini: Pelukis Karikatur Digital Buktikan Nilai Komersial

20/06/2025 09:02 PM

KOTA BHARU, 20 Jun (Bernama) -- Pernah dipandang rendah kerana memilih menyambung pengajian dalam jurusan seni, Mohd Azizi Husein kini membuktikan bidang berkenaan juga mampu menyediakan pelbagai peluang kerjaya profesional terutama dalam era digital.

Mohd Azizi, 47, yang dikenali sebagai GG kini berkhidmat sebagai pereka grafik di Ibu Pejabat Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan aktif sebagai pelukis karikatur digital sambilan sejak 2010.

“Dulu saya sering diejek kononnya selepas tamat belajar hanya mampu melukis di tepi jalan. Hakikatnya, lulusan seni juga boleh berkhidmat dalam sektor awam seperti hospital, mahkamah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi pengajian tinggi, malah kini dalam bidang teknologi serta kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada Bernama pada Program Kembara RIUH Pesta Itu-Ini di Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Mohd Azizi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2000 berkata beliau beralih daripada melukis secara manual kepada digital bermula pada 2018 susulan pelaksanaan inisiatif ‘JaPen Kini Digital’, termasuk penggunaan kod QR dalam penerbitan rasmi.

Beliau berkata lukisan karikatur digital semakin mendapat tempat kerana mudah, efisien, tidak memerlukan peralatan yang banyak dan membolehkan pembetulan kesilapan dilakukan dengan cepat selain turut mempunyai nilai komersial tersendiri.

Mohd Azizi berkata sebagai tarikan kepada orang ramai, JaPen menyediakan perkhidmatan lukisan karikatur secara percuma dalam pelbagai acara lapangan anjuran jabatan.

“Lukisan hitam putih biasanya siap dalam tempoh 10 hingga 15 minit, manakala untuk berwarna boleh mengambil masa hingga dua jam,” katanya yang juga anak jati Wakaf Bharu, Tumpat.

Mohd Azizi berkata dalam satu acara di Lumut, Perak minggu lepas, beliau berjaya menyiapkan 170 lukisan wajah pengunjung dalam tempoh tiga hari atau secara purata, kira-kira 50 lukisan sehari.

“Lukisan saya pernah dijadikan cenderamata eksklusif untuk tokoh kenamaan termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri, selebriti dan juga pempengaruh media sosial,” katanya.

Harga bagi lukisan karikatur digital bermula serendah RM10 untuk versi hitam putih dan RM30 untuk versi berwarna dengan pelanggan dalam talian akan menerima salinan digital dan boleh menempah cetakan fizikal dalam bentuk pilihan seperti kertas kilat, matte atau kanvas.

Mohd Azizi berkata banyak tempahan diterima untuk hadiah perkahwinan, persaraan dan kenangan keluarga dengan selain karikatur, beliau juga melukis komik, potret digital, ilustrasi penerbitan, cetakan digital dan turut terlibat dalam projek mural di bangunan awam dan hotel.

Sebagai pelukis seni digital aktif, beliau turut berkongsi hasil karya melalui media sosial di platform berikut di aplikasi TikTok: @MohdAGG, Facebook: Mohd Aggx (Ageng) dan Instagram: @agegxx.

Program Kembara RIUH Pesta Itu-Ini anjuran Kementerian Komunikasi berlangsung selama tiga hari hingga esok mulai 10 pagi hingga 11 malam setiap hari dengan pelbagai aktiviti menarik dijalankan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan