KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pengamal media dituntut untuk terus berpegang teguh kepada integriti, kebenaran serta tanggungjawab sosial dalam mendepani cabaran masa kini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata dalam zaman pascanormal dan era pascakebenaran, berita palsu termasuk teori konspirasi mudah tersebar dan ia mencabar kepercayaan masyarakat terhadap media.
“Di sinilah wartawan moden mesti kembali kepada asas berpegang teguh pada kebenaran dan tanggungjawab sosial. Komitmen terhadap kebenaran dan tanggungjawab sosial menjadikan profesion kewartawanan tunjang utama dalam masyarakat yang berinformasi.
“Peranan wartawan sebagai pemegang amanah yang mengendong maklumat makin penting untuk menapis fakta daripada kepalsuan, melapor dengan saksama dan menegakkan prinsip berkata benar walau pahit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024 Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS di sini malam ini.
Zambry berkata dalam kerangka Malaysia MADANI, kewartawanan yang beretika dan bebas perlu terus diperkasakan sebagai antara tiang utama demokrasi dan keadilan sosial.
“Wartawan adalah sahabat kepada kebenaran dan musuh kepada penindasan. Tugas kita bukan untuk menggembirakan pemerintah atau memburukkan mereka, tetapi menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar dengan fakta dan hujah,” katanya.
Dalam erti kata lain, beliau berkata wartawanlah yang menjadi mata dan telinga rakyat, menyampaikan kritikan membina dan melapor secara jujur, agar pemimpin dapat membuat keputusan berasaskan realiti dan suara rakyat terbanyak.
Sementara itu Zambry berkata kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan organisasi media perlu diperkukuh, termasuk melalui penyelidikan bersama, program latihan industri dan kolokium etika kewartawanan.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi komited memastikan kurikulum komunikasi dan kewartawanan di institusi pengajian tinggi sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, merangkumi elemen seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data, undang-undang siber dan etika profesion.
“Kita mahu melahirkan wartawan yang berilmu dan berintegriti kerana hanya dengan itulah kewartawanan dapat terus menjadi profesion mulia yang dipercayai rakyat,” katanya.
Majlis anjuran MPI itu turut dihadiri oleh penggiat media, wakil agensi berita tempatan serta penerima pelbagai kategori anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial