PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Koperasi di seluruh negara disaran melaksanakan segera inisiatif pendigitalan dan memanfaatkan teknologi moden bagi memastikan mereka kekal berdaya saing.
Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata persekitaran perniagaan di Malaysia kini semakin mencabar dan memerlukan koperasi untuk menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT).
“Kita tidak boleh terus berada di takuk lama, dunia perniagaan telah berubah dan koperasi juga perlu mengikut arus perubahan. Jika koperasi tidak beradaptasi, mereka akan ketinggalan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) di sini hari ini.
Ahmad Norihan berkata pelaksanaan digitalisasi akan mempercepatkan pelbagai proses dalam koperasi, daripada pengurusan dalaman hingga ke e-dagang, yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan tetapi mampu membuka lebih banyak peluang perniagaan.
“Transformasi digital dalam koperasi mesti dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang. AI, IoT dan sistem digital bukan lagi perkara baharu,” katanya.
Beliau turut memuji inisiatif Koop Sahabat yang hari ini melancarkan YATI iaitu satu sistem bantuan maya berasaskan AI yang mampu memberikan maklum balas secara serta-merta, membantu dalam proses penyampaian maklumat dan memudahkan akses kepada pelbagai urusan anggota.
“Koop Sahabat ini satu-satunya koperasi yang berani membuat inovasi… mereka telah melangkah agak jauh dalam memajukan ekosistem dan membantu mereka yang memerlukan, terutama golongan B40,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Koop Sahabat Mohd Najib Mohd Noor mengumumkan agihan dividen sebanyak 10 peratus bagi tahun kewangan 2024, yang melibatkan jumlah keseluruhan RM10.5 juta kepada 449,848 anggota di seluruh negara.
“Lonjakan pendapatan kami cukup tinggi dengan keuntungan berjumlah RM37 juta, meningkat melebihi 140 peratus berbanding tahun sebelum,” katanya.
Beliau berkata perniagaan Ar-Rahnu memberikan sumbangan tertinggi kepada pendapatan koperasi itu pada tahun lepas, diikuti dengan hasil pelaburan dalam pembangunan projek hartanah dan perumahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial