KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah mengeluarkan sebarang pekeliling menyatakan bahawa Gred A- tidak dikategorikan sebagai pencapaian cemerlang atau tidak layak memohon program matrikulasi.
Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan menegaskan bahawa semua pelajar yang mendapat keputusan cemerlang berpeluang untuk memohon ke program matrikulasi berdasarkan sistem merit sedia ada.
“Kita tidak pernah mengeluarkan pekeliling yang mengatakan A- itu bukan A atau A- itu sebagai tidak cemerlang. Tidak pernah sama sekali kita menyebut begitu,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 dan Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2024 di sini hari ini.
Fadhlina berkata proses pengambilan ke program matrikulasi tahun ini, antara yang paling teratur dan lancar kerana dilaksanakan secara telus dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk jumlah subjek yang diambil pelajar serta merit yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata program matrikulasi yang menumpukan kepada aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) masih mengekalkan keutamaan kepada pelajar berdasarkan pencapaian akademik dan merit yang ditentukan melalui sistem sedia ada termasuk penilaian Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
“Saya harap penjelasan ini jelas kerana bagi saya, kita telah pun melakukan proses ini dengan sangat adil dan memastikan semua anak-anak kita dapat peluang itu berdasarkan keutamaan dan juga kuota yang telah disiapkan,” katanya.
Fadhlina berkata untuk pengambilan secara automatik ke Program Matrikulasi KPM, keistimewaan diberi kepada pelajar yang mendapat 10A dan ke atas (Gred A+ dan A).
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM bakal menubuhkan Majlis Tingkatan Enam menjelang Oktober depan bagi memperkukuh kepimpinan pelajar selain menjadi saluran suara kepada golongan pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara.
Beliau berkata majlis itu akan menghimpunkan barisan kepimpinan pelajar Tingkatan Enam dari seluruh negara selepas proses pemilihan pimpinan di peringkat sekolah selesai dilaksanakan.
“Selepas sahaja mereka (pelajar baharu STPM) mendaftar masuk Tingkatan Enam, kita akan mula proses pemilihan pimpinan pelajar untuk persatuan mereka dan kemudian selepas selesai semua pilihan raya, peringkat Tingkatan Enam itu, mereka akan dihimpunkan dalam Majlis Tingkatan Enam,” katanya.
Fadhlina berkata penubuhan Majlis Tingkatan Enam itu akan memastikan para pelajar mempunyai hubungan lebih rapat dengan kementerian dan pemimpin tertinggi.
“Jadi Majlis Tingkatan Enam ini akan bertujuan untuk pastinya mengukuhkan lagi kepimpinan pelajar Tingkatan Enam. Ia juga akan menjadi suara kepada pelajar Tingkatan Enam dan pastinya mereka akan lebih dekat dengan KPM dan juga menteri sendiri kerana majlis itu akan berada di bawah Menteri Pendidikan.
“Kita akan bina semangat pasukan Tingkatan Enam ini ... mereka juga akan diberi ruang bersama saya di pejabat, merasai proses dan program latihan amali,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial