KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Perpaduan bukan bermaksud keseragaman, sebaliknya ia mengenai berdiri teguh bersama walaupun terdapat perbezaan, kata Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.
Berucap pada Hari Perpaduan di Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist Kuala Lumpur (WMSKLI) 2025 di sini hari ini, beliau berkata acara tahunan itu mempunyai peranan penting sebagai peringatan terhadap nilai yang menyatukan negara, sambil menekankan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada aspek kepelbagaian.
"Tiada yang lebih bermakna daripada meluangkan masa menghargai keindahan Malaysia – negara yang kaya dengan kepelbagaian – dan memberikan tumpuan bukan kepada perkara yang membezakan kita, tetapi kepada perkara yang menyatukan kita," katanya.
Wong turut menekankan kepentingan nilai bersama seperti belas ihsan, rasa hormat dan baik hati, sambil menambah rakyat Malaysia sememangnya baik dan bersatu dengan nilai-nilai ini, malah majoriti rakyat percaya kepada perpaduan, keharmonian dan saling menghormati.
"Kita tidak boleh jemu mengingatkan kepada diri kita tentang kebenaran ini. Jangan biarkan diri kita terpengaruh dengan kelantangan suara golongan minoriti yang menyebarkan kebencian dan perpecahan," katanya.
Wong yang juga Tokoh Wartawan Negara berkata perpaduan bermaksud mengenali, menghargai dan menyokong antara satu sama lain, dengan cara mendengar penuh empati, membantu tanpa diminta dan berdiri bersama, terutamanya ketika berhadapan tempoh sukar.
Dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim, sambutan Hari Perpaduan itu turut dihadiri Pengarah Pendidikan Swasta Majlis Pendidikan Methodist (MCOE) Lim Kah Cheng dan Pengetua WMSKLI Wong Chee Kheon.
Bersempena dengan acara itu, Sim turut melancarkan buku antologi pelbagai genre daripada WMSKLI bertemakan perpaduan bertajuk The Recipe for Malaysia’s Success, yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai antologi pelbagai genre dwibahasa pertama tentang perpaduan yang diterbitkan oleh sebuah sekolah.
Buku itu menampilkan pelbagai koleksi genre sastera termasuk pantun, syair, gurindam, sajak, anekdot, cerpen, dan artikel – semuanya ditulis dalam format dwibahasa oleh pelajar, pendidik dan 30 penulis jemputan.
Wong turut menjadi antara penyumbang karya dalam buku berkenaan, termasuk Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye, Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaafar, Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Dr Siti Zainon Ismail, dan Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, serta pelakon veteran Datuk Rosnani Jamil.
Sementara itu, Lim berkata kejayaan penerbitan buku itu merupakan satu langkah ke arah mengubah persepsi masyarakat terhadap sekolah antarabangsa, yang sering dianggap kekurangan jati diri Malaysia.
Inisiatif itu, katanya membuktikan bahawa sekolah berkenaan juga mampu memupuk semangat patriotisme dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial