Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kebocoran Di Tapak Pelupusan, Sisa Ternakan Antara Punca Pencemaran Sungai Air Batu

15/07/2025 05:01 PM

MELAKA, 15 Julai (Bernama) -- Kebocoran pada loji rawatan larut resap di tapak pelupusan sampah Sungai Udang dan sisa ternakan antara punca pencemaran Sungai Air Batu baru-baru ini, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata dapatan itu hasil siasatan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan selepas menerima aduan penduduk.

Sebagai langkah awal bagi mengelak kejadian serupa berulang, Rais berkata kerajaan negeri menambah sel baharu di tapak pelupusan itu yang dijangka beroperasi pada Februari tahun depan.

“Tapak pelupusan sampah itu buat masa ini beroperasi melebihi kapasiti apabila menerima kira-kira 800 meter padu sampah setiap hari berbanding kapasiti asal sebanyak 300 meter padu setiap hari.

“Sel baharu itu dijangka dapat menampung jumlah sampah sekali gus dapat mengurangkan risiko berlaku pencemaran di sungai berdekatan,” katanya.

Rais berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek perintis Tabika Kemas Istimewa @ Kemas Hang Jebat yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang di Krubong, di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga mengadakan perbincangan dengan penternak lembu di lembangan sungai berkenaan untuk menambah kolam takungan bagi mencegah sisa daripada kandang mengalir ke sungai.

Pembinaan projek loji Waste-To-Energy (WTE) di Sungai Udang bernilai RM660 juta yang dijangka siap selewat-lewatnya 2029 menurut beliau juga diharap dapat menyelesaikan masalah pencemaran sungai dan bau di kawasan itu.

Sebelum ini, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Ketua Menteri Melaka memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka diarah menjalankan siasatan selepas berlaku perubahan ketara pada warna air sungai itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan