KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Sebanyak 156 Klinik Kesihatan dilengkapi dengan sistem pengurusan digital berasaskan awan (CCMS), dengan 70 peratus pesakit dilayan dalam tempoh kurang 30 minit.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata pencapaian itu adalah sebahagian daripada reformasi digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang sedang rancak dilaksanakan kementerian berkenaan.
Beliau berkata di bawah reformasi berkenaan juga, fasa 1 sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) telah disiapkan melibatkan lima juta preskripsi, 20 juta rekod vaksinasi dan satu juta rekod pergigian.
Dzulkefly berkata MySejahtera kini pula berkembang menjadi gerbang kesihatan pencegahan dan gerbang digital nasional.
“Kami juga amat berbesar hati untuk mengumumkan Kementerian Kesihatan dan Google kini sedang meneroka kerjasama strategik untuk menggunakan AI bagi menangani cabaran kesihatan utama negara.
“Ia adalah langkah besar ke arah menjadikan Malaysia peneraju kesihatan digital berasaskan AI di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk memacu kerjasama serantau dalam tadbir urus data kesihatan, penggunaan AI yang beretika dan pembinaan kapasiti digital rentas sempadan.
Dzulkefly hari ini merasmikan Persidangan Kesihatan Awam Jitu Asia 2025 yang menghimpunkan lebih 500 delegasi dari seluruh rantau, lapan pempamer teknologi dan pemimpin-pemimpin kesihatan serantau yang berkongsi aspirasi membina sistem kesihatan berasaskan data, bersifat peribadi dan berpusatkan rakyat.
“Kesihatan Awam Jitu bukan lagi konsep masa depan. Ia sedang kita laksanakan di Malaysia dan ia akan menjadi tonggak kepada sistem kesihatan yang lebih mampan, saksama dan berdaya saing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial