KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Malaysia mencatat kemajuan penting dalam kerjasama pengawalseliaan antarabangsa menerusi pelancaran Program Perkongsian Pengawalseliaan Peranti Perubatan dengan China.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Dr P. Muralitharan berkata inisiatif itu merupakan kejayaan strategik dalam mempercepat akses kepada teknologi perubatan yang selamat dan inovatif, di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia selaku peneraju pengawalseliaan di peringkat global.
Beliau berkata program terbabit membolehkan kedua-dua negara mengiktiraf keputusan kawal selia masing-masing bagi kelulusan sebelum pemasaran, dengan peranti diagnostik in vitro (IVD) Malaysia kini layak menggunakan Saluran Hijau di China, manakala peranti dari China boleh menggunakan Laluan Pengesahan Malaysia, sekali gus mempercepat tempoh kelulusan kepada 60 dan 30 hari bekerja.
“Ia membantu mengurangkan pengulangan proses kawal selia, mempercepat kemasukan ke pasaran, dan memudahkan pesakit mendapatkan teknologi penjagaan kesihatan yang berkualiti.
“Ia juga mengukuhkan peranan Malaysia selaku hab pengawalseliaan serantau dan meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap ekosistem pengawalseliaan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muralitharan berkata program terbabit diumum pada Persidangan dan Pameran Kesihatan Persatuan Sistem Pengurusan dan Maklumat Penjagaan Kesihatan (HIMSS) Asia-Pasifik yang berlangsung tiga hari di sini bermula semalam, susulan penandatanganan memorandum persefahaman antara MDA dan Pentadbiran Produk Perubatan Negara China (NMPA) pada November 2023.
Muralitharan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dan MDA menyambut baik penyertaan industri dalam inisiatif terbabit dan pihak berkepentingan digalakkan untuk berhubung terus dengan MDA bagi perundingan.
Program berkenaan yang akan bermula pada 30 Julai ini mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap pengawalseliaan penjagaan kesihatan yang berdaya saing, cekap, dan telus demi manfaat pesakit serta industri kesihatan global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial