Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Merdeka 6.8km Fun Run & Walk Tawar Penyertaan Percuma, Hadiah Cabutan Bertuah Motosikal

18/07/2025 09:54 AM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Hadiah cabutan bertuah berupa motosikal menanti peserta Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk yang bakal berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 27 Julai ini.

Acara sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 itu menyasarkan lebih 1,000 penyertaan dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan berkata 1,000 individu terawal yang mendaftar akan menerima kemeja-T eksklusif manakala 1,000 pelari pertama yang berjaya menamatkan larian sejauh 6.8 kilometer (km) bakal menerima pingat serta berpeluang menyertai cabutan bertuah itu.

Beliau berkata program itu diadakan selaras dengan aspirasi agenda Malaysia Sihat dan membawa kelainan melalui elemen kenegaraan sepanjang laluan larian.

“Semua peserta akan dibekalkan dengan Jalur Gemilang dan sepanjang larian 6.8km itu, peserta juga akan diiringi oleh nyanyian lagu-lagu kenegaraan. Kita ada pancaragam Sekolah Tinggi Muar dan juga Pentarama JaPen,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata acara itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi wadah memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Saya harap program ini dapat mengeratkan konsep perpaduan dan kebersamaan. Semua dialu-alukan sertai dengan membawa semangat memartabatkan Jalur Gemilang dan meningkatkan semangat kenegaraan serta kecintaan kepada Malaysia,” katanya.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menampilkan pelbagai program menarik termasuk Karnival Kita MADANI yang membawa perkhidmatan kerajaan secara terus kepada rakyat dari 25 hingga 27 Julai.

Aktiviti kekeluargaan dan komuniti akan turut dianjurkan seperti pertandingan mewarna serta persembahan kesenian dan kebudayaan tempatan, selain Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan