Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RM136 Juta Biasiswa Tahun Ini, Sabah Komitmen Bangunkan Modal Insan Berkualiti

20/07/2025 05:26 PM

KOTA KINABALU, 20 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri memperuntuk RM136 juta Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) pada tahun ini sebagai komitmen berterusan ke arah memperkukuh pembangunan pendidikan tinggi di negeri berkenaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata peruntukan itu tertinggi setakat ini dengan menyaksikan peningkatan ketara berbanding RM50 juta pada 2020, sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan Sabah dalam memastikan semua anak muda tanpa mengira latar belakang sosioekonomi berpeluang memperoleh pendidikan tinggi.

“Ini adalah pelaburan jangka panjang kerajaan dalam membangunkan modal insan berkualiti dan berdaya saing. Kita tidak mahu anak Sabah tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana kekangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan oleh Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif pada majlis penyampaian Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri Sabah (SENTOSA) di Universiti Malaysia Sabah di sini hari ini.

Hajiji berkata sebanyak 4,170 pelajar bakal menerima manfaat tajaan BKNS tahun ini sejajar dengan matlamat Sabah Maju Jaya dalam memperkasa sektor pendidikan sebagai tunjang kemajuan negeri.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan Sabah memperuntuk RM77.5 juta bagi melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan yang memberi manfaat kepada sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta persatuan pelajar Sabah di dalam dan luar negara.

Beliau berkata antara inisiatif utama termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara sekali beri, Bantuan Ihsan Komputer, Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia dan Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah.

Bagi memastikan kesinambungan sokongan pendidikan, Hajiji berkata Tabung Pendidikan Negeri Sabah yang diperkenalkan pada Jun 2022 telah memberi manfaat kepada hampir 10,104 penerima membabitkan perbelanjaan RM15.8 juta sehingga kini.

Mengenai SENTOSA, Hajiji berkata inisiatif bantuan pendidikan membabitkan peruntukan RM6 juta itu dilancarkan pada Mac lepas dengan menyasarkan kira-kira 20,000 pelajar Bumiputera Sabah yang menuntut di IPT dalam negeri menerima manfaat.

Pada majlis itu, lebih 600 pelajar universiti awam dan swasta di Sabah menerima bantuan SENTOSA RM300 secara sekali beri.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan