Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPKT Perkasa Komuniti Kampung Tok Kepak Melalui Program Kampung Angkat MADANI

21/07/2025 06:18 PM

ALOR SETAR, 21 Julai (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memilih Kampung Tok Kepak, Kodiang sebagai antara lokasi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI bagi 2025.

KPKT dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan program itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam merapatkan jurang pembangunan antara desa dan bandar.

“Bagi tujuan itu 15 projek berimpak tinggi telah dirancang dan sedang dilaksanakan di kampung tersebut merangkumi lima projek Kampung Angkat MADANI KPKT 2025 dan empat projek di bawah Bantuan Projek BP1.

“Turut terlibat dua projek Program Pembangunan Komuniti Bandar (PPKB); dua projek oleh Jabatan Landskap Negara (JLN) dan masing-masing satu projek di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Kedah serta Kementerian Pendidikan (KPM).

“Projek tersebut merangkumi aspek pembangunan fizikal dan sosial bertujuan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat Kampung Tok Kepak secara menyeluruh, termasuk dari segi kemudahan awam, ekonomi dan pembangunan komuniti,” menurut kenyataan itu.

KPKT memaklumkan antara projek berjaya disiapkan ialah Projek Meroboh dan Membina Semula Dewan Orang Ramai Kampung Tok Kepak iaitu hasil kolaborasi antara Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).

“Dewan siap dibina itu dijenamakan semula sebagai Dewan Komuniti Kampung Tok Kepak dan majlis perasmian dewan komuniti itu telah disempurnakan Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib pada 19 Julai.

“Dalam ucapan perasmian, beliau menzahirkan harapan agar kemudahan disediakan itu dapat dimanfaatkan seluruh penduduk kampung bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan berharap dewan komuniti dijaga dengan baik demi kepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPKT, selain dewan komuniti, beberapa projek lain di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI yang sedang giat dilaksanakan termasuk projek penurapan jalan, naik taraf bangunan Tabika KEMAS dan Masjid Tok Kepak.

Projek lain ialah naik taraf kemudahan Sekolah Kebangsaan Tok Kepak, pemasangan lampu jalan jenis LED, pengindahan landskap, pembinaan dan baik pulih rumah penduduk yang layak.

“Inisiatif ini membuktikan komitmen KPKT dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui pendekatan pembangunan seimbang, inklusif dan berteraskan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan