Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Taiwan Bekerjasama Dengan Malaysia Promosi Gaya Hidup Sihat Melalui ‘Go Healthy With Taiwan 2025'

22/07/2025 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Taiwan sedang menerajui inovasi kesejahteraan serantau melalui kempen ‘Go Healthy with Taiwan 2025’ di Malaysia, yang merentasi tiga sektor strategik utama, iaitu teknologi kecergasan dan sukan, berbasikal, dan penjagaan kesihatan pintar. 

Inisiatif yang diterajui Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa Taiwan (TITA) dan dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) ini telah menarik penyertaan aktif daripada kumpulan kecergasan, pihak universiti dan pembekal perubatan tempatan.

Kempen ini terbuka kepada penyertaan dalam bentuk pembentangan cadangan merentasi tiga sektor strategik utama berkenaan, dan Taiwan Excellence dalam kenyataan hari ini menyeru pihak berkepentingan di Malaysia untuk menghantar cadangan sebelum 14 Ogos menerusi laman web kempen https://gohealthy.taiwanexcellence.org/ .

“Peserta berpeluang memenangi tiga hadiah wang tunai berjumlah USD30,000 untuk cadangan paling berimpak dan inovatif. Selain itu enam pasukan terbaik akan dijemput ke Taiwan untuk menyertai "Go Healthy Tour" - suatu pengalaman eksklusif dan mendalam yang membuka akses terus kepada ekosistem teknologi kesihatan canggih Taiwan.

“Lawatan ini merangkumi demonstrasi secara langsung, lawatan tapak, serta sesi jaringan bersama syarikat Taiwan terkemuka, bagi membuka peluang kerjasama, integrasi produk, dan peluasan pasaran,” menurut kenyataan itu.

Taiwan Excellence berkata teknologi kecergasan dan sukan menfokuskan kepada inovasi kecergasan pintar Taiwan seperti sistem latihan berasaskan AI dan peralatan bersambung yang direka untuk meningkatkan kesejahteraan individu dan komuniti.

Berbasikal pula merujuk kepada peranan Taiwan sebagai hab pengeluaran basikal berprestasi tinggi dan pelopor dalam infrastruktur berbasikal bandar, menggalakkan aktiviti berbasikal sebagai pengangkutan lestari dan menyihatkan.

Dalam aspek penjagaan kesihatan pintar, sektor teknologi perubatan Taiwan menawarkan platform diagnostik canggih, keupayaan teleperubatan, dan peranti boleh pakai yang mentransformasikan model penjagaan kesihatan dan pencegahan.

Menurut kenyataan itu semua cadangan akan dinilai berdasarkan impak kepada kesihatan dan kesejahteraan, integrasi produk atau solusi Tauwan, tahap inovasi dan kebolehlaksanaan.

Penyertaan dimudahkan melalui platform dalam talian yang mesra pengguna dan garis panduan terperinci dan dan penganjur mempelawa orang ramai untuk menyertai Taiwan dalam mewujudkan masa depan yang lebih sihat dan berdaya tahan menerusi inovasi, kolaborasi dan tujuan bersama.

Garis panduan terperinci dan contoh kes seperti pemantau kesihatan boleh pakai daripada Acer yang telah diguna pakai oleh hospital terkemuka di seluruh dunia, disediakan di laman web rasmi untuk membantu pembangunan cadangan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan