PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited terhadap sebarang usaha untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan berkaitan pelaksanaan Tender Terbuka Pra-Kelayakan Terpilih (TTPKT).
Ia adalah susulan teguran dan syor Jabatan Audit Negara (JAN) daripada dapatan pengauditan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 - Aktiviti Kementerian/Jabatan/Badan Berkanun/Syarikat Kerajaan Persekutuan.
Menurut KKDW, TTPKT melaksanakannya berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MoF).
“Kaedah ini adalah pelaksanaan rintis yang diperkenalkan untuk menyegerakan pelaksanaan projek prasarana yang bermanfaat kepada rakyat. Semestinya, sebagai kaedah rintis yang baharu, ia tidak lari daripada kesalahan atau kesilapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, KKDW mengadaptasi amalan terbaik daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai Jabatan Teknikal utama.
KKDW menjelaskan bahawa tiada implikasi kewangan atau kerugian kepada kerajaan susulan dapatan audit itu, namun kementerian akur beberapa aspek perlu ditambah baik.
Kementerian itu turut mengalu-alukan dan bersetuju dengan syor Ketua Audit Negara sekiranya kerajaan memilih untuk meneruskan kaedah TTPKT itu, maka penambahbaikan bagi menangani kelemahan sedia ada perlu dibuat.
“KKDW akan terus memastikan setiap perolehan bagi tujuan pembangunan luar bandar dilaksanakan dengan penuh kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam dan berdasarkan tadbir urus terbaik,” menurut kenyataan itu.
LKAN 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 21 Julai lepas mendedahkan tiga kementerian didapati gagal mencapai objektif pelaksanaan kaedah TTPKT bagi menyegerakan proses perolehan dan mempercepat pelaksanaan projek, termasuk projek berimpak tinggi kepada rakyat dan projek di bawah inisiatif Jana Wibawa yang telah dibatalkan.
Audit mendapati beberapa kelemahan dalam pelaksanaan itu oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah serta KKDW.
Laporan itu menyatakan bahawa kaedah TTPKT tidak wajar diteruskan kerana membuka ruang kepada manipulasi dan ketidaktelusan, apabila hanya syarikat tertentu diluluskan untuk menyertai tender.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial