KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Pengumuman beberapa inisiatif sebagai penghargaan untuk rakyat Malaysia yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam akan memberi impak positif kepada kitaran ekonomi komuniti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif seperti penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan harga RON95 lebih rendah pada RM1.99 seliter semestinya akan membantu meringankan kos operasi PMKS.
Beliau berkata pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan peningkatan peruntukan Program Jualan Rahmah MADANI pula akan menambah keupayaan rakyat untuk berbelanja.
“PMKS amat menghargai semua inisiatif ini kerana sebahagian besar kos operasi mereka bergantung kepada kos minyak, termasuk tol kerana perjalanan luar bandar ke pekan bagi mendapatkan bahan mentah atau membawa produk untuk dijual di pekan,” katanya ketika ditemu bual Bernama Radio pada segmen Reaksi: Penghargaan Untuk Rakyat, Bukti Keprihatinan Kerajaan, hari ini.
Sementara itu, Ewon berkata rakyat Malaysia disyorkan supaya memanfaatkan pemberian cuti tambahan pada 15 Sept sempena Hari Malaysia nanti dengan bercuti di dalam negara.
“Bercutilah di pusat-pusat pelancongan yang dioperasikan oleh koperasi-koperasi misalnya dan juga (destinasi) pelancongan di desa yang diusahakan oleh komuniti kampung dan komuniti usahawan PMKS, kita juga memiliki banyak potensi pelancongan, keindahan yang boleh dinikmati,” katanya.
Beliau berkata kementeriannya akan menggunakan segala platform dimiliki termasuk pada sambutan Hari Koperasi Negara di Melaka yang bermula esok hingga Ahad untuk mempromosi produk-produk pelancongan koperasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial