Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Melaka Komited Perkasa Pembangunan Sukan Golongan OKU

27/07/2025 03:42 PM

ALOR GAJAH, 27 Julai (Bernama) -- Kerajaan Melaka meneruskan usaha memperkasakan pembangunan sukan orang kurang upaya (OKU) menerusi penyaluran peruntukan keseluruhan berjumlah RM90,000 tahun ini, kata Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk V.P. Shanmugam.

Beliau berkata peruntukan di bawah Program Perhebat OKU 2025 itu disalur menerusi tujuh inisiatif utama melibatkan pembangunan atlet dan penganjuran program sukan OKU. 

"Antara bantuan yang disalurkan termasuk untuk Program Bakat Baru Para Sukan Malaysia (SUKMA) (RM14,500), Program Penyertaan Kejohanan Sukan (RM11,900) dan Program Latihan Pusat Kontinjen Para SUKMA Melaka (RM30,000).

"Turut disalurkan bantuan untuk penganjuran Karnival Sukan OKU (RM8,600), Sukan Olimpik Khas (Olahraga) Melaka (RM5,000), Kem Kontinjen Para SUKMA Melaka (RM15,000) dan Sukan Orang Pekak (Tenpin Boling) Melaka (RM5,000)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itu sempena Majlis Perasmian Prapelancaran Hari Sukan Negara 2025 peringkat Melaka dan Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Ketua Menteri Melaka yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri Zailani Siran di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah di sini hari ini.

Shanmugam berkata bantuan itu adalah manifestasi janji kerajaan bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir khususnya dalam bidang sukan dan diharap dapat menyuntik semangat atlet OKU untuk terus cemerlang dan mengharumkan nama negeri.

Sementara itu, mengenai Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Ketua Menteri Melaka, beliau berkata pertandingan itu disertai 12 pasukan membabitkan pemain berusia 40 tahun ke atas sempena menuju Hari Sukan Negara (HSN) 2025 selain bagi memeriahkan Sukan Melaka 2025 akan datang.

Beliau berkata sambutan HSN 2025 peringkat negeri dicadang di Dataran Orang Kampung Merlimau, berikutan giliran Jasin menjadi tuan rumah tahun ini.

"Bagi peringkat daerah pula, beberapa lokasi dikenal pasti antaranya bagi Melaka Tengah di Aeon Mall Ayer Keroh dan Alor Gajah di Padang Bola Sepak FELCRA Ramuan Cina. Kita berharap seluruh rakyat Melaka dapat turut serta menjayakan sambutan HSN 2025 ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan