SHAH ALAM, 29 Julai (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini melaksanakan sesi pengenalan projek Taman Perindustrian Hijau atau Green Industrial Park (GRIP) Kota Puteri Fasa 1 di Rawang, bagi mempromosikan komponen pembangunan perindustrian strategik mengandungi 52 unit kilang berkembar moden serta 13 lot tanah industri, kepada bakal pembeli berpotensi.
Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran PKNS Fadli Mohd Ariff berkata sesi tersebut dapat meningkatkan kesedaran serta merangsang minat pasaran terhadap projek yang menampilkan reka bentuk moden, lokasi strategik, infrastruktur lengkap serta keunikan nilai jualan tersendiri berbanding taman-taman perindustrian lain.
“Sebagai sebahagian daripada Fasa 1 pembangunan GRIP Kota Puteri, PKNS memperkenalkan 13 lot tanah perindustrian dengan keluasan antara 1.5 hingga 2.7 hektar, sejajar dengan pelbagai keperluan perindustrian.
“Selain itu, sebanyak 52 unit kilang berkembar (semi-D) terdiri daripada 20 unit Jenis A dengan keluasan binaan 8,727 kaki persegi dan 32 unit Jenis B dengan keluasan binaan 10,623 kaki persegi juga ditawarkan, kedua-duanya dibina di atas saiz lot yang sama,” katanya ketika pembentangan sempena Pameran Industri PKNS 2025 di Galeria SA Sentral, di sini hari ini.
Fadli berkata projek berkenaan turut dilengkapi dengan fasiliti eksklusif seperti kelab profesional, ruang kerja, bilik mesyuarat, Internet berkelajuan tinggi serta pejabat pengurus tapak di dalam persekitaran perindustrian yang kondusif.
Beliau berkata GRIP Kota Puteri disasar menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat serta penyumbang kepada pembangunan ekosistem perindustrian yang lebih dinamik di Selangor, dengan penekanan kepada pembangunan industri bersepadu yang mampan serta moden.
Fadli berkata GRIP juga terletak di lokasi strategik, dengan akses ke beberapa lebuh raya utama seperti Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang dibangunkan.
“Lokasi ini membolehkan sambungan mudah ke Kuala Lumpur, Pelabuhan Klang dan kawasan perindustrian utama lain, sekali gus menjadikannya sesuai untuk aktiviti logistik, pengeluaran serta pengedaran,” katanya.
Fadli berkata status GRIP sebagai Taman Perindustrian Berpusat dan Berpagar (MIP) juga merupakan antara inisiatif galakan pelaburan oleh kerajaan negeri, yang membolehkan pelabur menikmati pelbagai insentif seperti kelulusan segera, pengecualian cukai dan pemilikan asing sehingga 100 peratus bagi industri yang layak selari dengan dasar pelaburan Invest Selangor.
Beliau berkata GRIP juga telah memperoleh persijilan Green RE yang memperakui pematuhan kepada prinsip kelestarian dan kecekapan tenaga meliputi kawasan seluas 151 hektar dilengkapi infrastruktur yang menyeluruh, termasuk bekalan elektrik sebanyak 42 megawatt (MW), bekalan air 5.8 juta liter sehari, saluran gas melalui JKR FT54 serta liputan telekomunikasi 4G dan 5G daripada penyedia utama.
“Tapak pembangunan ini dibina pada paras ketinggian 46.4 meter, jauh lebih tinggi berbanding kawasan sekitar seperti Sungai Gong serta Sungai Buloh, menjadikan risiko banjir sangat rendah dan memberi jaminan tambahan terhadap kelangsungan operasi perniagaan.
“Bagi kilang Jenis B, kemudahan lif kargo berkapasiti dua tan turut disediakan bagi menyokong keperluan logistik industri,” katanya.
Pameran Industri PKNS 2025 menghimpunkan lebih 70 ejen hartanah, perunding industri serta wakil-wakil persatuan berkaitan sektor hartanah dan perindustrian tempatan.
Ejen hartanah yang hadir turut berpeluang menyaksikan sendiri konsep pembangunan kilang berkembar serta lot-lot tanah industri yang ditawarkan di GRIP Kota Puteri, selain berpeluang meninjau kemajuan fizikal semasa di tapak projek menerusi lawatan tapak yang dijadualkan pada Khamis ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial