Ad Banner
 AM > BERITA

SMK Sungai Baging Dipilih Sekolah Angkat MADANI Pertama Maritim Malaysia

29/07/2025 06:42 PM

KUANTAN, 29 JULAI (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging di sini menjadi Sekolah Angkat MADANI pertama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang dilihat sebagai platform untuk menyemai nilai kepimpinan dan kenegaraan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata inisiatif ini bukan sekadar program tanggungjawab sosial korporat(CSR), sebaliknya merupakan pelaburan sosial jangka panjang bagi membentuk sahsiah, disiplin dan jati diri dalam kalangan generasi muda sejak di bangku sekolah.

“Selain berdekatan dengan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) kami memilih sekolah ini berikutan kerjasama sedia terjalin.

“Pelbagai program kami lakukan dengan mereka bermula 2018 lagi dan sekolah berkenaan juga merupakan perintis pasukan Kadet Maritim yang kita dah tubuhkan bermula Januari 2020 dengan 310 keanggotaan di sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Sekolah Angkat MADANI SMK Sungai Baging di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Program Sekolah Angkat MADANI merupakan inisiatif Kerajaan MADANI yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dikoordinasikan Kementerian Kewangan serta Kementerian Pendidikan.

Ia bertujuan mempertemukan organisasi berkemampuan seperti agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta dengan sekolah yang memerlukan sokongan holistik terutamanya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar. 

Dalam perkembangan lain, Mohd Rosli berkata perolehan sebuah kapal induk pelbagai fungsi (MPMS) buatan syarikat pembuat kapal Turkiye, Desan Shipyard dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada jadual.

"Pembinaan kapal itu mengatasi jadual yang ditetapkan. Dengan kemajuan sekarang kita jangka ia dapat disiapkan dengan lebih awal dan kami juga rancang untuk bawa kapal ini dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan