Ad Banner
 AM > BERITA

Pelantikan Pengerusi Perbadanan Labuan Berdasarkan Merit - Dr Zaliha

30/07/2025 06:35 PM

LABUAN, 30 Julai (Bernama) -- Pelantikan pengerusi baharu Perbadanan Labuan perlu berasaskan merit dan kewibawaan bukannya sentimen tempatan demi memastikan kemajuan sosial dan ekonomi pulau itu dan rakyatnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan Labuan memerlukan kepimpinan yang kukuh, berwawasan dan memiliki pemahaman yang mendalam terhadap dasar yang dilaksanakan selain berupaya memacu pertumbuhan yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat. 

“Jawatan ini tidak harus dipolitikkan atau dijadikan isu sentimen tempatan...apa yang penting ialah kemampuan untuk membawa kemajuan lebih bermakna kepada Labuan, mengukuhkan ekonominya dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Festival Flora Borneo 2025 di sini hari ini. 

Beliau berkata pemilihan pengerusi perlu berdasarkan kewibawaan mereka dan rekod prestasi penting, terutamanya bagi menerajui Labuan yang sedang melalui fasa pemulihan pascapandemik, persaingan ekonomi serantau dan keutamaan kepada pembangunan negara.

“Labuan, sebagai Wilayah Persekutuan semakin mendapat perhatian pelabur dari dalam dalam luar negara terutama dalam sektor logistik, minyak dan gas, pelancongan serta kewangan,” katanya. 

Dr Zaliha  berkata momentum itu mesti dikekalkan dengan kepimpinan yang proaktif dan strategik.

“Kita perlu melantik seseorang yang boleh berinteraksi dengan pihak berkepentingan, memacu kerjasama awam-swasta dan memastikan inisiatif kerajaan diterjemahkan kepada hasil yang nyata untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata pengerusi Perbadanan Labuan memainkan peranan penting dalam membentuk dasar, menyelia hal ehwal pihak berkuasa tempatan serta memudahkan projek pembangunan di wilayah tersebut. 

Beliau menambah walaupun perspektif rakyat tempatan penting, mereka seharusnya melengkapi bukan melangkau keperluan bagi kepimpinan berkesan yang berasaskan merit, pengalaman dan prestasi. 

Jawatan pengerusi Perbadanan Labuan kini kosong berikutan tamatnya tempoh perkhidmatan Tan Sri Anifah Aman bulan lepas

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan