Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pos Kawalan Diperlukan, Tangani Isu Keselamatan Musim Tengkujuh Di Pulau Aur

22/07/2025 11:41 AM

MERSING, 22 Julai (Bernama) -- Ketiadaan pos kawalan keselamatan tetap di Pulau Aur di sini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat berhubung aspek keselamatan dan kebajikan mereka semasa cuaca buruk, khususnya ketika musim tengkujuh.

Pulau berpenduduk tetap yang terletak paling jauh dari daratan Semenanjung dan menghadap Laut China Selatan itu sering terputus hubungan ketika musim tengkujuan susulan gelombang besar akibat tiupan angin monsun timur laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sabinah Md Seth, 48, berkata ketiadaan pos kawalan keselamatan tetap juga menyukarkan pemantauan, terutama terhadap nelayan asing yang datang berlindung daripada cuaca buruk malah ada antara mereka didakwa menceroboh kediaman penduduk. 

"Pernah berlaku nelayan asing (ceroboh) masuk rumah penduduk untuk mendapatkan makanan. Jadi kami bimbang jika insiden ini berulang, lebih-lebih lagi ketika ribut,” katanya ketika ditemui pemberita di pulau itu baru-baru ini. 

Pulau Aur yang terletak kira-kira 76 kilometer dari Jeti Mersing dengan perjalanan dua jam menaiki bot, merupakan antara destinasi ekopelancongan dan aktiviti menyelam popular selain menjadi laluan strategik bot nelayan tempatan dan asing.

Sabinah berkata Pulau Aur kini dihuni 128 penduduk tetap namun boleh mencecah hingga 500 orang ketika musim cuti sekolah dan musim buah-buahan, apabila anak jati pulau itu pulang ke kampung halaman.

Dia berkata sebahagian besar anak muda berhijrah kerana faktor pekerjaan dan pendidikan namun penempatan semula agensi kerajaan di pulau itu boleh menjamin keselamatan serta kesejahteraan komuniti jangka panjang.

"Dulu kita ada pos Taman Laut.  Kami berharap pihak berkuasa seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau Jabatan Laut Malaysia boleh mempertimbangkan untuk wujudkan semula pos kawalan tetap di sini dalam usaha memastikan keselamatan penduduk sekali gus memberi keyakinan kepada pelancong," katanya. 

Sabinah turut memaklumkan Pejabat Daerah Mersing dan Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) pernah menyalurkan bekalan makanan bagi membantu penduduk membuat persediaan menghadapi tempoh gangguan perhubungan laut akibat cuaca buruk, pada tahun lepas. 

Sementara itu, seorang peniaga Masita Md Ali, 75, berkata dia terpaksa menyimpan stok barangan lebih awal setiap kali menjelang musim tengkujuh kerana tidak pasti berapa lama laluan laut akan terputus akibat cuaca buruk.

“Kalau angin kuat bot tidak boleh jalan, jadi kami kena simpan barangan runcit lebih banyak daripada biasa...jika tidak penduduk sukar untuk membeli barang keperluan mereka seperti minyak, tepung dan gula. 

"Oleh itu, kewujudan pos kawalan bukan sahaja dapat meningkatkan tahap keselamatan, malah membantu menyelaraskan penghantaran bekalan sekiranya berlaku kecemasan atau kelewatan akibat keadaan laut yang tidak menentu," kata ibu kepada tujuh anak itu kepada Bernama. 

Seorang pelancong, Azzyati Hanisah Che Alias, 35, pula berkata ketiadaan pasukan penguat kuasa tetap di pulau itu sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan, terutama apabila berlaku kecemasan dan cuaca tidak menentu memandangkan jaraknya yang jauh dari daratan.

“Panorama di pulau ini memang indah, tenang dan sesuai untuk bercuti…tetapi apabila kami dengar pulau ini tidak mempunyai pos kawalan tetap rasa bimbang juga sekiranya berlaku kecemasan atau kejadian tidak diingini di laut. 

"Aspek keselamatan juga penting untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong sekali gus menjadikan Pulau Aur destinasi bertaraf antarabangsa dari segi kesiapsiagaan dan pengurusan kecemasan," kata pegawai pemasaran itu yang pertama kali mengunjungi pulau tersebut bersama rakan-rakannya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan