KOTA KINABALU, 2 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) hari ini memperkenalkan produk dan wajah baharu bagi satu daripada produk utamanya iaitu Baja Super Peladang, yang kini tampil dengan rekaan lebih segar, moden dan profesional.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar berkata wajah baharu baja keluaran NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB), anak syarikat NAFAS itu mempunyai rekaan grafik lebih kemas dan mudah dikenali, dengan susun atur maklumat lebih jelas bagi membolehkan pengguna memahami fungsi serta kandungan produk tersebut.
"Sebelum ini Baja Peladang hanya ditawarkan dalam bentuk baja sebatian (compound), kini selari dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat NBKSB mengambil inisiatif memperkenalkan varian baharu dalam bentuk baja kompak (compacted).
"Teknologi pembuatan baja kompak ini lebih ringkas dan efisien namun tetap mengekalkan kandungan nutrien serta tahap keberkesanan yang tinggi. Pada masa sama, ia membolehkan harga ditawarkan secara lebih kompetitif di pasaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Produk dan Wajah Baharu Baja Super Peladang sempena sambutan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Turut hadir termasuk Ketua Pentadbir NAFAS Mohd Faizal Mohd Jakir, Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin dan Ketua Pegawai Eksekutif NBKSB Zalifudin Md Arshad.
Sementara itu, Zalifudin berkata antara produk lain yang diketengahkan ialah Super Ultra K, iaitu baja kompak premium berasaskan MAP (Mono Ammonium Phosphate) yang dirumus khas bagi meningkatkan kadar penyerapan nutrien oleh tanaman.
Beliau berkata dua lagi varian baharu iaitu Super 45D dan Super 16, yang menggunakan asas SOP (Sulphate of Potash), sesuai untuk kegunaan tanaman yang memerlukan kawalan terhadap kandungan klorin dalam pembajaan.
"Ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh jenama Baja Super Peladang sebagai produk tempatan berkualiti tinggi yang diyakini petani seluruh negara.
"Penampilan terbaharu ini juga mencerminkan komitmen NAFAS dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat dan profesionalisme produk selari dengan standard industri pertanian semasa," katanya.
NAFAS, antara penaja utama HPPNK 2025 edisi ke-50, terus memperkukuh peranannya dalam menyokong pembangunan sektor agromakanan negara, terutamanya di Sabah.
Penglibatan kali ini menampilkan pendekatan menyeluruh yang merangkumi elemen generasi muda, pembangunan industri serta pengukuhan jaringan kerjasama strategik.
Untuk maklumat lanjut mengenai penglibatan NAFAS di HPPNK 2025, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial rasmi NAFAS di Facebook, Instagram, X, Threads, dan TikTok @nafashq.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial