Ad Banner
 AM > BERITA

Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor Pada 30 Ogos - Amirudin

04/08/2025 01:33 PM

SHAH ALAM, 4 Ogos (Bernama) -- Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat negeri Selangor akan dilaksanakan pada 30 Ogos, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata acara perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri itu, akan berlangsung seperti lazimnya dilakukan tahun-tahun sebelum ini, kecuali ada penambahan sesi amanat khusus sehari sebelum itu.

“Cuma bezanya tahun ini akan diadakan (sesi) amanat khusus, yang saya bakal sampaikan pada hari Jumaat 29 Ogos, sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan kepada ketua jabatan, wakil komuniti untuk memberikan sedikit hala tuju negeri Selangor menjelang tahun 2026.

“Di samping itu, (amanat tersebut) ia antaranya bagi melengkapkan (memaklumkan) beberapa pelan kita (kerajaan negeri) seperti Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Selangor Smart State,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Selangor sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Turut dilaksanakan penyerahan Jalur Gemilang kepada sembilan pejabat daerah dan tanah serta 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pada majlis yang sama, Amirudin turut melancarkan kerangka Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Negeri Selangor (RSTU) serta Majlis Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor yang dilaksanakan secara fizikal serta dalam talian, dihadiri lebih 1,000 penjawat awam negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan