Ad Banner
 AM > BERITA

Presiden UTP Dilantik Felo Akademi Sains Malaysia

04/08/2025 10:01 PM

IPOH, 4 Ogos (Bernama) -- Presiden Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) Ir. Mohamed Firouz Asnan dilantik sebagai Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), pengiktirafan terhadap sumbangan besar dalam sektor tenaga negara serta kepimpinan beliau dalam memajukan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) sebagai tonggak utama pembangunan negara.

Menurut UTP pelantikan itu di bawah disiplin pembangunan sains dan teknologi serta industri yang mengiktiraf peranan penting beliau dalam memajukan sektor huluan minyak dan gas negara, dengan memanfaatkan teknologi serta inovasi bagi mengoptimumkan nilai sumber hidrokarbon sambil mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

"Pengalaman luas beliau sebagai Director of Transition dan ahli lembaga universiti selama enam tahun bersama UTP memperkukuh kepakarannya di peringkat nasional.

“Peranan itu membolehkan beliau menyumbang idea serta pandangan dalam pembangunan institusi UTP serta hala tuju masa hadapan universiti,” menurut kenyataan UTP hari ini.

Sejak dilantik sebagai Presiden pertama UTP pada 1 Mei lepas, Mohamed Firouz memanfaatkan pengalaman luas dalam kepimpinan industri tenaga dan kerjayanya di PETRONAS termasuk peranan penting dalam membangunkan ekosistem industri.

Mohamed Firouz kini menerajui usaha untuk memperkukuh strategi daya saing, membangunkan keupayaan serta mempertingkat kerjasama antara industri dan akademia di UTP.

“Di bawah kepimpinan beliau, UTP dijangka memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara menerusi penghasilan bakat yang bersedia untuk masa depan, memacu penyelidikan berimpak tinggi serta memperkasakan kerjasama strategik bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi.

“Pelantikan sebagai Felo ASM turut meletakkan beliau dalam kalangan tokoh sains dan kejuruteraan terkemuka negara serta mencerminkan keselarasan UTP dengan misi akademi itu, selain komitmen universiti terhadap pembelajaran sepanjang hayat, inovasi dan kemajuan masyarakat,” menurut kenyataan itu. 

ASM, badan penasihat saintifik utama negara yang memperjuangkan kecemerlangan dalam bidang STIE, merancakkan inovasi serta menyokong pertumbuhan mampan dan inklusif.

Felo dipilih berdasarkan sumbangan cemerlang mereka dalam membentuk kemajuan negara melalui penyelidikan, industri atau kepimpinan dasar.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan