Ad Banner
 AM > BERITA

KPJ Kuching Laksana Prosedur Ablasi Jantung Guna Teknologi PFA

05/08/2025 03:00 PM

KUCHING, 5 Ogos (Bernama) -- KPJ Kuching Specialist Hospital (KPJ Kuching) mencatat sejarah dalam bidang perubatan kardiologi apabila berjaya melaksanakan prosedur ablasi jantung pertama di Borneo menggunakan teknologi ‘PulseSelect’ ablasi medan berdenyut (PFA).

Menurut KPJ Healthcare, pendekatan baharu itu menawarkan ketepatan yang lebih tinggi dengan pemulihan yang lebih pantas serta mengurangkan kesan terhadap tisu sekeliling untuk pesakit yang mengalami gangguan ritma jantung.

"Teknologi PFA generasi baharu ini berfungsi dengan menghantar denyutan tenaga terkawal ke kawasan tisu jantung tertentu bagi merawat isyarat jantung yang tidak normal," menurut KPJ Healthcare dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, prosedur pertama berjaya dijalankan ke atas seorang pesakit yang menghidap fibrilasi atrium (AFib), sejenis gangguan ritma jantung yang lazim berlaku dan boleh menyebabkan degupan tidak sekata, keletihan serta meningkatkan risiko strok sekiranya tidak dirawat.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Chin Keat Chyuan berkata mereka berbangga menjadi yang pertama di Borneo memperkenalkan kemajuan dalam penjagaan kardiologi ini, sejajar dengan komitmen KPJ Healthcare terhadap inovasi berteraskan pesakit serta peluasan akses kepada penyelesaian kardiologi yang canggih. 

"Dengan memperkenalkan prosedur seperti PFA, kami memperluas akses kepada rawatan yang lebih selamat dan tepat. Ia turut memperkukuh aspirasi ‘Care for Life’ kami, memastikan hospital seperti KPJ Kuching terus memberi khidmat terbaik kepada komuniti serta mempertingkatkan keupayaan klinikal kumpulan," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi KPJ Kuching yang mengetuai operasi itu, Dr Koh Keng Tat berkata teknologi itu membolehkan mereka menyasarkan tisu jantung yang tidak normal dengan lebih tepat sambil meminimumkan kesan kepada struktur sekeliling. 

"Untuk pesakit yang sesuai, ia menawarkan masa prosedur yang lebih singkat, kurang komplikasi dan pemulihan lebih cepat untuk kembali menjalani kehidupan harian," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan