KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Setiap agensi di negara ini disaran meninggalkan corak kerja secara kepompong atau silo dan beralih kepada budaya sistem kolaboratif yang lebih inklusif.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pendekatan ‘agensi eksklusif’ perlu diubah kerana kekuatan sebenar pengukuhan sosial terletak pada keupayaan semua pihak bergerak secara bersama.
“Dalam menghadapi cabaran sosial yang semakin kompleks, kita tidak boleh lagi bekerja dalam kepompong silo. Kita perlu keluar daripada budaya agensi eksklusif dan mengamalkan budaya sistem kolaboratif.
“… ini menjadi asas kepada pengukuhan sosial secara sinergi, dan kekuatan sebenar bukan terletak pada siapa yang paling berkuasa, tetapi sejauh mana kita mampu bergerak bersama,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Social Synergy 2025 di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Selain itu, Shamsul Azri berkata tadbir urus kerajaan perlu dilengkapi dengan budaya yang kukuh supaya tidak menjadi rutin kosong tanpa nilai kemanusiaan.
“Dalam tadbir urus kerajaan, tanpa budaya yang luhur, proses akan menjadi kosong, sekadar rutin tanpa roh dan jiwa. Manakala budaya tanpa sistem pula menyebabkan usaha kita mudah menyimpang dan tersasar.
“Maka, budaya dan proses perlu berjalan seiring. Kita perlu menyatukan jiwa kemanusiaan dengan kecekapan sistematik dan itulah ruang sebenar pentadbiran yang lebih baik,” katanya.
Shamsul Azri juga memaklumkan perangkaan eKasih ICU JPM setakat 31 Dis tahun lepas merekodkan lebih 390,000 ketua isi rumah dikategorikan miskin, termasuk hampir 1,800 ketua isi rumah miskin tegar.
Beliau yakin pendekatan kerjasama antara 117 agensi, dengan penyertaan 862 pemimpin masyarakat dari seluruh negara, dapat memastikan lebih ramai individu yang memerlukan dapat disantuni dan dibantu.
Terdahulu, Mohammed Azman dalam ucapannya menyeru warga PERKESO supaya lebih proaktif di lapangan, mencari waris dan pencarum yang layak menerima faedah, supaya agensi itu sentiasa hadir untuk ‘menongkat yang rebah’.
Beliau berkata Program Social Synergy yang mula dibangunkan pada 2017, hasil cetusan idea PERKESO, bertujuan membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan sara hidup rakyat, serta memastikan golongan B40 yang layak tidak tercicir daripada senarai bantuan.
“Kita ingin pastikan orang pertama yang mengetuk pintu keluarga yang sedang berduka bukanlah pengutip hutang, tetapi PERKESO yang membawa keadilan sosial di kala detik malang,” katanya.
Kongres Social Synergy 2025, yang memasuki edisi ketiga, dihadiri lebih 400 peserta dengan tema ‘Budaya atau Proses’ bagi mengupas kepentingan menggabungkan budaya kemanusiaan dengan sistem penyampaian yang cekap.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial