Ad Banner
 AM > BERITA

Pembinaan Projek SASaR Kem Wardieburn Bermula Suku Pertama 2026 - Adly

05/08/2025 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Pembinaan projek perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Wardieburn di sini, melibatkan 974 unit dijangka bermula pada suku pertama tahun depan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata projek SASaR di Kem Genting Klang, Setapak, membabitkan 6,400 unit pula dijadual bermula pada 2030.

Adly berkata ketika kini terdapat satu projek SASaR yang sedang dilaksanakan di kawasan Kuala Lumpur iaitu projek SASaR Sungai Besi, melibatkan pembinaan 3,500 unit kediaman jenis pangsapuri yang dijangka siap pada suku keempat tahun ini.

“Selain itu, terdapat dua lagi projek yang bakal dilaksanakan di kawasan Kuala Lumpur iaitu projek SASaR Wardieburn dan projek SASaR Setapak melibatkan pembinaan sebanyak 7,374 unit kediaman jenis pangsapuri.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan unit kediaman projek SASaR yang dibina sebanyak 10,874 unit,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai status terkini pembinaan projek SASaR di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang, Setapak yang sepatutnya siap secara berperingkat mulai 2026 pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ditanya sama ada projek SASaR ATM di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang dilaksanakan melalui pertukaran tanah, Adly berkata kedua-dua projek berkenaan dilaksanakan menggunakan model subsidi silang tanpa pertukaran tanah, dengan harga rumah diberikan berdasarkan pembangunan yang dijalankan pemaju di kawasan terlibat.

Beliau berkata pembangunan projek SASaR di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang dilaksanakan secara berfasa, selari dengan projek pembinaan pusat latihan ATM di Port Dickson.

“Prosesnya adalah kita perlu menyiapkan projek di Kem Wardieburn dan Port Dickson terlebih dahulu, kemudian memindahkan sebahagian anggota sebelum memulakan pembinaan di Kem Genting Klang, Setapak,” katanya.

Dalam soalan berasingan, Adly berkata Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menerima sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) bagi fasa pertama perolehan pada 2026, sebelum meneruskan fasa kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi melengkapkan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

Beliau berkata perolehan aset itu telah melibatkan beberapa langkah strategik daripada pihak ATM dalam rangka keupayaan menjelang RMK13 termasuk mengenal pasti industri tempatan yang boleh terlibat dalam rantaian bekalan bagi membangunkan industri pertahanan negara yang berkaitan dengan Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV) atau dron.

“ATM telah melalui beberapa siri jawatankuasa seperti Pembangunan Angkatan Masa Hadapan serta Jawatankuasa Panglima-Panglima bagi memperhalusi keupayaan yang bakal dimiliki selaras dengan fasa pembangunan Angkatan Masa Hadapan 2026-2030,” katanya. 

Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin tahu sama ada kementerian mempunyai perancangan untuk mengintegrasi penggunaan UAV dalam sistem pertahanan udara negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan