Oleh Kamarul Halim M Kamal
BATU PAHAT, 6 Ogos (Bernama) -- Di satu sudut kedai di Kompleks Arena Warna, Ayer Hitam yang cukup terkenal sebagai kawasan perniagaan menjual barangan kraf tangan dan kerepek, kelihatan kelibat suami isteri warga emas begitu tekun melayani pembeli yang singgah untuk mendapatkan cenderamata bertemakan “Malaysia” dan budaya tempatan.
Berbekalkan senyuman yang tidak lekang daripada wajah dipenuhi garis usia, Wang Ah Hie, 70, dan isterinya Karen Lim, 69, begitu bangga memperkenalkan pelbagai barangan berunsurkan lokal, termasuk kemeja-T tertera perkataan “Malaysia”, “Johor” dan “Ayer Hitam”.
Bagi pasangan itu, barangan berkenaan bukan sekadar produk yang dijual untuk mencari rezeki semata-mata, tetapi juga lambang kecintaan mereka kepada negara.
“Saya bangga dapat ‘jual’ nama Malaysia. Kalau pelancong balik ke negara mereka, mereka akan bawa ‘Malaysia’ bersama. Ini satu cara kecil kami perkenalkan negara kepada pelancong selain untuk sebarkan rasa cinta pada tanah air dalam kalangan rakyat tempatan,” kata Ah Hie ketika ditemui Bernama di kedainya.
Bermula hanya secara kecil-kecilan di tepi jalan di pekan Ayer Hitam pada 1980 dengan menjual kraf tangan buatan orang lain seperti tembikar, pasu, magnet peti sejuk dan baju-T, pasangan itu kemudian mengorak langkah menjual produk sendiri di bawah jenama “Kampungku” sejak 2000 hingga kini.
Lebih istimewa, reka bentuk dan corak kebanyakan barangan dijual seperti kemeja-T, kole, jaket, beg jinjing dan topi dihasilkan oleh anak sulung mereka, Wang Sin Ee, 45.
Menceritakan lanjut tentang perkara itu, Sin Ee berkata pada 2015 mereka berjaya membuka cawangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai dengan menyasarkan pelancong asing yang mahu membawa pulang kenangan dari Malaysia.
“Kami mahu pelancong bukan saja beli sebagai oleh-oleh, tetapi juga rasa bangga bila pakai baju bertulis ‘Malaysia’. Semangat patriotik itu bukan hanya untuk rakyat tempatan, malah boleh dikongsi dengan orang luar,” katanya.
Sin Ee berkata keunikan corak kemeja-T “Kampungku” menyebabkannya mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelancong dari Singapura, Indonesia, Vietnam, China, Jepun, Korea Selatan dan negara Arab.
“Kami hasilkan lebih 20 rekaan kemeja-T setiap tahun sebab permintaan sangat tinggi. Reka bentuk pun kami pastikan sentiasa ada unsur Malaysia bermula daripada warna hingga tulisan. Itu yang jadi daya tarikannya,” katanya.
Setiausaha Majlis Daerah Yong Peng Muhamad Sharul Azmi Md Kamil menyifatkan usaha pasangan itu sebagai luar biasa dalam memartabatkan identiti negara melalui perniagaan kecil.
“Bayangkan, lebih empat dekad mereka tidak jemu jual dan promosikan nama Malaysia, Johor dan Ayer Hitam kepada pelancong luar. Ini satu contoh rakyat biasa yang menyumbang kepada imej negara di mata dunia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial