KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Delegasi Thailand dan Kemboja tiba di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di sini hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa, yang diadakan untuk membincangkan isu berkaitan sempadan kedua-dua negara.
Delegasi Kemboja diketuai oleh Menteri Pertahanannya Jeneral Tea Seiha, manakala delegasi Thailand diketuai oleh Pemangku Menteri Pertahanan Jeneral Natthaphon Narkphanit. Kedua-dua delegasi, bersama panglima angkatan tentera masing-masing, tiba sekitar pukul 1.50 tengah hari.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard Kagan yang bertindak sebagai pemerhati.
Mesyuarat ini dijangka mencapai kata sepakat berhubung pelaksanaan gencatan senjata antara kedua-dua negara, termasuk membincangkan terma rujukan (TOR) pemantauan oleh Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN Interim serta Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT).
Mesyuarat yang dijangka berlangsung selama satu jam itu akan disusuli dengan sidang media oleh wakil kedua-dua negara.
Terdahulu, perbincangan peringkat sekretariat antara kedua-dua negara telah diadakan sejak Isnin hingga semalam sebagai persiapan kepada mesyuarat hari ini.
Semalam, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, memaklumkan perbincangan sekretariat yang berlangsung selama tiga hari itu berjaya mencapai kata sepakat secara dasar mengenai pelaksanaan gencatan senjata di sempadan Thailand-Kemboja.
Kedua-dua negara sebelum ini bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata berkuat kuasa mulai tengah malam, 28 Julai lalu, hasil daripada mesyuarat khas yang diadakan di Malaysia.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan disertai Perdana Menteri Kemboja Hun Manet serta Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.
Kedua-dua pemimpin bersetuju terhadap pelaksanaan gencatan senjata susulan ketegangan yang memuncak antara dua negara Asia Tenggara itu.
Ketegangan memuncak sejak 28 Mei lepas berikutan insiden pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial