KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) semalam bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan berzakat.
MoU yang dimeterai di ibu pejabat PPZ-MAIWP itu juga bertujuan memperhebat amalan wakaf sebagai instrumen kesejahteraan umat Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata MoU itu adalah lembaran baharu dalam usaha memperluas dakwah zakat dan wakaf serta mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak menyusun strategi untuk menyampaikan perkhidmatan yang holistik dan mesra pengguna.
“Kerjasama strategik ini membawa objektif dan matlamat yang jelas serta signifikan sekali gus membuka peluang kepada pelanggan kedua-dua pihak menikmati manfaat dan perkhidmatan yang ditawarkan secara bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata kerjasama tersebut merupakan kolaborasi strategik antara agensi zakat dan pengurusan harta pusaka di Malaysia bagi membawa visi besar membina ekosistem ekonomi Islam yang kukuh, mampan dan progresif.
Beliau berkata menerusi MoU itu, pelbagai inisiatif berkaitan zakat dan wakaf tunai dapat dilaksanakan termasuk perkhidmatan rundingan zakat dan wakaf tunai secara fizikal dan dalam talian, penyediaan kaunter zakat bergerak dan digital, serta tawaran Kad Setia di Hospital Pusrawi kepada pelanggan AmanahRaya yang membayar zakat harta sekurang-kurangnya RM10,000 setahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial