Ad Banner
 AM > BERITA

Jenazah Koperal Mohd Hafizul Izham Selamat Dikebumikan

08/08/2025 12:45 PM

BANDAR PERMAISURI, 8 Ogos (Bernama) -- Jenazah Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan yang maut selepas dirempuh kenderaan dinaiki suspek kes pecah rumah di Taman Golf, Alor Setar petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Putera Jaya, di sini kira-kira 10.30 pagi ini.

Kenderaan yang membawa jenazah Mohd Hafizul Izham, 35, tiba di kediaman ibu bapanya di Kampung Pak Kancil, dekat sini pada 8.51 pagi sebelum dibawa ke Masjid Putera Jaya pada 9.15 pagi untuk disolatkan.

Antara yang hadir termasuk Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin dan lebih 300 ahli keluarga serta sahabat handai Allahyarham.

Jenazah anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu dikebumikan mengikut istiadat pengebumian kepahlawanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Mohd Khairi menyerahkan bendera Sang Saka Biru kepada bapa Allahyarham, Mazlan Umar, 64, yang juga pesara polis.

Allahyarham meninggalkan isteri Nur Azhanis Mohd Yusoff, 36, dan tiga anak Muhammad Akif Naufal,11, Muhammad Ammar Nazran, 9, dan Muhammad Afiq Nazim, 4.

Dalam kejadian 3.30 petang semalam, pihak polis menerima maklumat awam berhubung aktiviti jenayah disyaki pecah rumah di taman perumahan berkenaan sebelum sepasukan lima pegawai serta anggota JSJ IPK Kedah termasuk Allahyarham telah ke lokasi kejadian dengan menaiki dua kenderaan.

Bagaimanapun sebaik tiba, Mohd Hafizul Izham yang keluar dari kereta terus dirempuh kenderaan dinaiki suspek yang cuba melarikan diri. 

Allahyarham yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang suspek berjaya ditahan di lokasi sementara tiga lagi melarikan diri sebelum berjaya diberkas di Kepala Batas, dekat Alor Setar.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Muhammad Akif Naufal berkata dia dijemput bapanya pulang dari sekolah 1.15 tengah hari semalam dan itu merupakan pertemuan terakhir mereka.

“Selepas balik dari sekolah, saya menumpang rakan dan ibunya ke Aman Central, Alor Setar (pusat beli-belah) sebelum ada anggota polis mengambil dan bawa saya ke hospital. 

“Saya ingatkan papa yang suruh ke hospital kerana ayah kawan saya meninggal dunia. Namun sebaik tiba di hospital kira-kira 6.30 petang, saya nampak mama sedang menangis, rupanya papa saya yang meninggal dunia,” katanya. 

Muhammad Akif Naufal berkata arwah bapanya sering berpesan kepadanya supaya tidak sesekali meninggalkan solat dan belajar bersungguh-sungguh.

Dalam pada itu, ibu Allahyarham, Maznah Ismail, 64, berkata dia terkilan kerana tidak sempat memasak juadah nasi minyak kegemaran anaknya itu pada Isnin lepas.

Beliau berkata kali terakhir dia bertemu anaknya ketika Allahyarham singgah sebentar di rumahnya pada malam Sabtu lepas sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu atas urusan kerja.

“Ketika mahu pulang semula ke Kedah pada Isnin lepas, Mohd Hafizul Izham menghubungi saya meminta saya masak kerana dia mahu singgah makan. Namun saya tidak sempat masak kerana dia sudah dekat dengan rumah saya, lalu dia tidak jadi singgah dan meneruskan perjalanan pulang ke Kedah.

“Kalau sempat masak hari itu, saya berhasrat nak masak nasi minyak untuknya kerana itu makanan kegemaran arwah,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan