Ad Banner
 AM > BERITA

Laman Malaysia MADANI Medium Pendidikan Fahami Prinsip, Aspirasi MADANI - KSN

12/08/2025 08:35 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Laman Malaysia MADANI, sebuah ruang landskap beridentiti nasional yang mengangkat citra negara melalui elemen reka bentuk mencerminkan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, dilancarkan di Taman Botani di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata Laman Malaysia MADANI bukan sekadar taman hiasan, malah berfungsi sebagai medium pendidikan kepada pengunjung untuk memahami prinsip dan aspirasi MADANI, termasuk kemampanan serta daya cipta dalam kehidupan seharian.

"Laman Malaysia MADANI sebagai simbolik dan manifestasi nyata gagasan negara yang inklusif, lestari dan menyatu. 

"Arca logo MADANI yang teguh di tengah-tengah laman menjadi lambang keyakinan kita terhadap hala tuju negara. Mural perpaduan yang menghiasi dinding melambangkan hormat dan ihsan sesama kita manakala bunga-bunga ikonik tanah air menjadi bahasa kasih, kesejahteraan dan kebersamaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Laman Malaysia MADANI dan Naskhah Khas “Shamsul Azri: 365 Hari Menjunjung Amanah” di sini hari ini .

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud, Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff serta barisan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam.

Shamsul Azri berkata selain menyediakan ruang santai untuk keluarga beriadah, Laman Malaysia MADANI menonjolkan elemen daya cipta dan kemampananan, seperti bangku yang dihasilkan daripada bahan kitar semula, dan pencahayaan pada waktu malam yang menggunakan tenaga solar.

"Jelas inisiatif sebegini adalah terjemahan hidup kepada nilai-nilai MADANI, berpaksikan kemampanan, kesejahteraan, hormat, ihsan, daya cipta dan keyakinan," katanya.

Beliau berkata projek Laman Malaysia MADANI akan diperluask ke 10 taman awam di Putrajaya bagi memastikan nilai MADANI dapat diterapkan kepada masyarakat secara meluas.

"Insya-Allah semua taman ini akan mempunyai Laman MADANI masing-masing. Matlamatnya supaya rakyat memahami dan mengamalkan nilai murni yang menjadi teras MADANI," katanya.

Mengenai “Shamsul Azri: 365 Hari Menjunjung Amanah” terbitan INTAN, beliau berkata naskhah berkenaan merakamkan pencapaian dan refleksi sepanjang setahun kembara reformasi perkhidmatan awam, di bawah pimpinannya.

"Terkandung di dalamnya sebuah catatan perjalanan yang mungkin sudah kita sedia maklum, namun tidak kurang juga yang jarang tersingkap kepada mata umum. 

"Boleh saya katakan, dalam 365 hari menjunjung amanah, saya belajar bahawa kepimpinan bukan hanya tentang memberi arahan, tetapi juga tentang mendengar, memahami dan membuat keputusan sukar demi kebaikan bersama," katanya.

Sementara itu, mengenai Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang dijadual berlangsung Jumaat ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Shamsul Azri berkata kira-kira 3,000 penjawat awam dijangka menghadiri majlis itu.

MAPPA akan menjadi platform penting untuk menyampaikan amanat kerajaan kepada seluruh penjawat awam, selain memperkukuh semangat, iltizam dan kesepaduan dalam melaksanakan agenda reformasi perkhidmatan awam selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan