Ad Banner
 AM > BERITA

Liputan Internet Di Kawasan Berpenduduk Capai 98.8 Peratus Setakat 31 Julai

13/08/2025 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Kadar liputan Internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Malaysia telah mencapai 98.82 peratus setakat 31 Julai lepas, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata bagi liputan 5G, Digital Nasional Berhad telah menyiapkan sejumlah 7,489 tapak pemancar yang secara keseluruhan menyediakan 82.4 peratus liputan dalam kawasan berpenduduk.

"Jumlah langganan adalah melebihi 28 juta pengguna dan kadar penembusan jalur lebar mudah alih 5G bagi 100 penduduk adalah 82.7 peratus," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) mengenai perkembangan dan data terbaharu kemajuan projek 5G serta strategi kerajaan dalam memperluas liputan ke kawasan luar bandar seperti Sungai Burong, Sekinchan dan Permatang khususnya di Parlimen Tanjong Karang.

Fahmi berkata bagi Parlimen Tanjong Karang, kadar liputan Internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk adalah 99.75 peratus manakala Parlimen Sungai Besar mencatatkan kadar liputan 99.99 peratus.

Selain itu, Fahmi berkata rangkaian 5G kedua oleh U Mobile telah beroperasi pada 14 Julai lepas dan sebanyak 1,232 tapak telah dinaik taraf kepada liputan 5G.

Mengenai pelaksanaan JENDELA 1, beliau berkata ia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2025, manakala perancangan untuk pelan JENDELA 2 sedang diteliti dan akan diumumkan pada suku keempat 2025 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut Fahmi, ia memerlukan penilaian dan pertimbangan kaedah pemberian perkhidmatan yang sesuai, fit-for-purpose serta keupayaan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP Fund) untuk membiayai perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi projek itu.

"Jenis penyelesaian pemberian perkhidmatan yang akan dipertimbangkan pada peringkat perancangan ini dijangka melibatkan pembinaan menara baharu dan penyediaan Internet menggunakan teknologi satelit," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata MCMC telah menjalankan pelbagai usaha termasuk melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan pemahaman rakyat termasuk dalam kalangan pelajar sekolah mengenai aspek kemudaratan dalam talian. 

Kementerian Komunikasi turut melaksanakan pindaan undang-undang ke arah penggunaan Internet yang lebih baik dan memastikan jenayah seperti penipuan dalam talian dan buli siber dapat ditangani.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan