Ad Banner
 AM > BERITA

MoU G2G Elak Penglibatan Ejen, Orang Tengah Dalam Perolehan Aset Pertahanan

16/08/2025 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertahanan sedang memperluas kerjasama antara negara melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) berkaitan produk pertahanan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan mengelakkan penglibatan ejen atau orang tengah dalam urusan perolehan aset pertahanan negara.

“Kerajaan MADANI kekal konsisten dalam usaha menambah baik tadbir urus dan memastikan ketelusan, termasuklah dalam urusan pembelian aset pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60 di Kem Iskandar, Mersing, Johor hari ini mengingatkan Kementerian Pertahanan supaya tidak mengulangi kesilapan lepas dalam pembelian aset ketenteraan, khususnya pesawat terpakai yang boleh mengancam nyawa juruterbang dan anggota tentera.

Sultan Ibrahim menegaskan semua pihak yang terlibat dalam perolehan aset ketenteraan perlu memastikan penilaian dibuat secara telus mengikut harga pasaran serta keperluan sebenar tentera, bukan semata-mata mendengar cadangan ejen atau pihak berkepentingan.

Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan menjunjung titah Seri Paduka Baginda itu dan komited untuk sentiasa menjunjung prinsip akauntabiliti dan integriti dalam aspek perolehan aset-aset pertahanan negara.

Beliau berkata langkah segera yang telah dan sedang diambil adalah pengukuhan dasar dan prosedur dalaman kementerian bagi memastikan ketelusan, pematuhan etika dan garis panduan yang ketat.

Selain itu, sebarang cadangan baharu akan dilaksanakan kajian yang menyeluruh melibatkan pengguna akhir iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuklah aspek kesesuaian, jangka hayat, keselamatan serta teknologi yang digunakan. 

“Mana-mana perolehan aset pertahanan juga dibuat berdasarkan kepada keperluan ATM atau pengguna akhir,” katanya.

Mohamed Khaled berkata sebelum mengesahkan sebarang perolehan, penilaian harga pasaran sebenar dibuat secara komprehensif bagi memastikan setiap wang yang dibelanjakan adalah pada harga yang sewajarnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan