IPOH, 17 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot pukat kenka dan merampas pelbagai aset serta hasil laut bernilai RM80,000 di kedudukan 5.2 batu nautika barat Muara Kuala Kurau, Jumaat lepas.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata kedua-dua vesel ditahan kira-kira 2 pagi kerana beroperasi di luar waktu dibenarkan, menggunakan pemberat melebihi had serta tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya.
“Hasil rampasan dianggarkan bernilai RM80,000 telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan terus memperhebat operasi pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara bebas daripada aktiviti haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata jika disabitkan kesalahan, pemilik vesel boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial