Oleh Afifitri Muhammad
KUANTAN, 19 Ogos (Bernama) -- Gabungan puisi, alunan lagu dan kibaran megah Jalur Gemilang menjadi wadah seorang penggiat seni budaya Pahang Noor Azman Norawi, 58, dalam membangkitkan perasaan patriotik sempena Bulan Kebangsaan.
Semangat pemuisi dan pemuzik tempatan yang lebih dikenali sebagai Man Kayan itu dapat dirasai di ruang seni ‘Kelab Serindit Mati Tersepit’ di Kampung Permatang Badak di sini, yang meriah dengan puluhan Jalur Gemilang dan aktiviti seni.
Beliau berkata ilham itu lahir daripada dorongan sendiri tanpa mengharapkan pujian atau paksaan mana-mana pihak.
“Kita buat kerana kita mahu dan ia memberi kepuasan kepada hati sendiri. Semangat merdeka ini tidak perlu disuruh, ia sepatutnya diraikan secara sukarela seperti kita menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Anak jati Pahang itu berkata hiasan bendera yang dipasang di kawasan kelab miliknya itu bukan sahaja sebagai simbol patriotisme, malah menjadi daya tarikan kepada pengunjung untuk bergambar serta menjiwai semangat kemerdekaan.
“Alhamdulillah, kebanyakan yang datang menyukai suasana itu. Ada yang mengambil gambar dan menjadikannya inspirasi untuk menghiasi rumah mereka. Jadi semangat ini dapat terus berkembang,” katanya.
Kelab Serindit Mati Tersepit yang diasaskan Man Kayan merupakan ruang seni yang menampilkan falsafahnya tentang bakat kecil yang tidak diberi peluang seakan ‘mati tersepit’ ibarat burung serindit.
Kelab itu menjadi wadah untuk anak seni berkumpul, berkarya dan bergabung bakat dalam bidang puisi, muzik dan budaya supaya dapat berkembang bersama.
Dalam pada itu, Man Kayan turut menekankan kepentingan memahami sejarah perjuangan negara dalam menghayati erti sebenar kemerdekaan dan harus mempunyai ‘roh’ supaya hiasan yang dihasilkan tidak seperti ‘badan tanpa jiwa’ .
“Apabila kita tahu susah payah generasi terdahulu menuntut kemerdekaan, barulah kita benar-benar menghargai nikmat yang ada hari ini. Apa yang kita buat mesti ada roh, bukan sekadar hiasan kosong,” katanya.
Bercakap mengenai nilai seni dan lagu yang dihasilkan olehnya, Noor Azman berkata beliau amat menekankan elemen menyemai rasa syukur dan nilai kasih sayang dalam pembikinan karya kemerdekaan dan patriotisme.
“Manusia yang benar-benar merdeka ialah mereka yang jiwanya bebas daripada perasaan iri hati, hasad dan fitnah. Jiwa yang damai akan melahirkan karya yang baik, penuh kasih sayang dan memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
Selain menguruskan kelab itu, Man Kayan bakal terlibat dalam program bacaan puisi selama lapan jam tanpa henti bersama pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) bulan ini sempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Sebenarnya projek itu akan dilaksanakan bersama UMP dan mereka bercadang untuk dibuat di sini. Tetapi disebabkan cuaca yang tak menentu dan nak pasang kanopi di sini pun tidak sesuai, jadi kita bercadang buat di UMP kerana di situ kemudahan lengkap dan pelajar di sana dapat mengikutinya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial