Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Mekar Ihsan JPN Bantu Wanita Orang Asli Terlantar

24/08/2025 03:30 PM

GUA MUSANG, 24 Ogos (Bernama) -- Wanita Orang Asli suku Temiar Mastaliza Mulian berjaya menukar kad pengenalan baharu selepas wakil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil inisiatif hadir ke rumahnya di Pos Bihai di sini, bagi membantu wanita itu yang terlantar di rumah. 

Bapanya Mulian Alok, 54, berkata Mastaliza merupakan orang kurang upaya (OKU), tidak berupaya berjalan serta sukar memahami percakapan orang, menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk membawanya ke pejabat JPN bagi urusan menukar kad pengenalan selepas berusia 18 tahun.

“Walaupun anak berusia 29 tahun, namun kami perlu menjaganya seperti bayi termasuk hanya memberi makanan lembut dan perlu memakai lampin,” katanya kepada pemberita di Kampung Bihai Lama, di sini hari ini.

Mulian berterima kasih kepada semua pihak yang membantu selepas menerima aduan mengenai situasi anak ketiga daripada lima beradik itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah JPN Kelantan Hezri Othman berkata Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Ihsan memfokus pelaksanaan perkhidmatan pendaftaran di lapangan untuk membantu golongan tidak berupaya hadir ke pejabat JPN. 

“Dalam kes ini, pemohon telah membuat kad pengenalan pada usia 12 tahun tetapi belum menukarnya pada usia 18 tahun kerana merupakan OKU terlantar,” katanya.

Ad Banner

Beliau berkata mengikut Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) setiap rakyat mencapai umur 18 tahun wajib membuat gantian kad pengenalan selewat-lewatnya apabila berusia 25 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan