KUCHING, 27 Ogos (Bernama) -- Kerjasama unik antara Bintulu Port Holding Berhad (Bintulu Port) dan pengusaha perahu penambang di Sungai Sarawak, yang mempamerkan bait-bait pantun pada bumbung perahu mereka menjadi satu lagi nilai tambah kepada sektor pelancongan di negeri berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Ruslan Abdul Ghani berkata sebanyak 16 perahu tambang di Kampung Boyan di sini masing-masing dihiasi dengan empat rangkap pantun hasil inisiatif Bintulu Port bagi memartabatkan pantun sebagai khazanah bangsa Melayu.
Beliau berkata kerjasama itu bermula tahun lepas semasa penganjuran Regata Sarawak atas keprihatinan terhadap pengusaha perahu penambang.
“Kami memahami cabaran yang mereka hadapi untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan bergantung kepada rezeki membawa perahu penambang.
“Idea kami untuk terus berkolaborasi dengan pihak pengusaha, sekali gus menjadikan bot penambang sebagai kanvas budaya bergerak bagi menambah nilai ekonomi dan sosial mereka,” katanya.
Ruslan berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengurus Besar Group Stakeholder Relations Bintulu Port Maslihah Tioh pada Majlis Perasmian Siri Pantun Bintulu Port Bersama Penambang Sungai Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua perahu itu dihiasi bait-bait pantun bertemakan perpaduan, nasihat dan kasih kepada warisan bangsa.
“Apabila bot-bot ini berlayar di Sungai Sarawak, ia bukan sekadar membawa penumpang tetapi menjadi duta budaya, papan iklan warisan dan wadah pendidikan yang santai tetapi berkesan.
“Lebih penting, inisiatif ini juga membantu kelangsungan hidup para penambang dengan menjadikan perahu mereka lebih menarik kepada pandangan pelancong dan pengguna tempatan,” katanya.
Sementara itu, seorang penambang Haili Birin, 60, berkata dia dan rakan-rakan penambang yang lain amat menghargai usaha Bintulu Port yang memilih mereka untuk program itu.
“Ini kelainan yang ditunggu-tunggu sebab kami yakin ia mampu menarik lebih ramai pelancong apabila pantun di atas bumbung perahu kami. Saya mewakili rakan-rakan penambang lain bersyukur dengan kolaborasi ini kerana terdapat juga bantuan tunai diberikan kepada kami, yang dapat meringankan beban untuk membeli petrol.
“Seperti dekatnya hati saya dengan pantun empat kerat ‘pisang emas di bawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati’, begitu juga perasaan kami terhadap Bintulu Port,” katanya, sambil menambah pantun-pantun warisan itu juga akan menyemarakkan suasana Bulan Kebangsaan.
Tinjauan Bernama di Tebingan Kuching mendapati ramai pelancong di sekitar kawasan itu mengambil kesempatan untuk menggunakan pengangkutan berkenaan dan merakam gambar pantun-pantun yang dipamerkan sebagai kenangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial