Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bahasa Melayu Asas Identiti Nasional, Perlu Diperkukuh - Teo Kok Seong

01/09/2025 11:10 AM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diperkukuh, kerana ia merupakan titik persamaan utama bagi masyarakat berbilang bangsa dan kaum dalam negara.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata bahasa Melayu, perlu menjadi asas penting identiti nasional sebagaimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, sebelum ini.

“Bahasa negara ini bukan sahaja bahasa rasmi tetapi lambang nasional. Namun malangnya selepas lebih enam dekad merdeka, masih ada generasi muda yang tidak menguasai bahasa negara,” katanya dalam rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.

Ad Banner

Teo yang juga penerima anugerah Tokoh Pemartabat Bahasa Melayu Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012 berpendapat, dasar bahasa kebangsaan juga wajar dilihat semula supaya masyarakat lebih menghargai nilai bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu ada nilai yang tidak ternilai dalam ranah (bidang) kenegaraan, kerana ia bahasa kebangsaan bahasa rasmi serta identiti budaya rakyat. Perubahan sikap terhadap bahasa ini amat diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Teo mengusulkan agar diperkenalkan satu mata pelajaran wajib lulus iaitu pengetahuan antara budaya untuk meningkatkan kefahaman rakyat terhadap cara hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ad Banner

“Sekiranya kita benar-benar memahami falsafah bersatu dalam kepelbagaian, saya percaya tidak akan timbul masalah untuk semua etnik bergerak sederap sebagai sebuah bangsa Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan