Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Bagi pengajar di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), erti merdeka bukan sekadar bebas daripada belenggu penjajah, tetapi juga bebas daripada ketagihan dadah, yang berjaya dicapai klien di pusat pemulihan itu.
Pengajar di Puspen Sepang Hasrolaznam Kamarulzaman, 48, berkata kejayaan membantu insan yang pernah tersilap langkah untuk bangkit memulakan kehidupan baharu, mampu berdikari dan diterima semula oleh masyarakat ialah satu kebahagiaan yang sukar untuk digambarkan.
"Melihat klien bebas daripada kancah dadah ialah satu erti kemerdekaan bagi seorang pengajar. Merdeka bagi mereka (klien) bermakna bebas daripada belenggu dadah dan merdeka bagi saya (pengajar) adalah apabila mereka benar-benar pulih daripada masalah (dadah)," katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.
Hasrolaznam mengakui kerjayanya kini jauh berbeza dengan latar belakang pendidikannya dalam bidang kejuruteraan perisian, namun beliau menemui minat baharu membimbing insan yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan yang lebih bermakna.
“Tiada sesiapa yang mahu jadi penagih dadah. Mereka cuma tersilap langkah. Apabila bergaul dengan mereka, saya nampak keinginan mereka untuk berubah, kembali sihat dan sedar bahawa ketagihan ini hanya menyusahkan dan menyakitkan mereka," katanya.
Menurut Hasrolaznam, tugas pengajar bukan sekadar membimbing, tetapi juga melengkapkan klien dengan kemahiran hidup sebagai bekalan di luar pusat pemulihan antaranya memasak, menjahit, menggunting rambut sehinggalah asas membaiki kenderaan.
Meskipun tugas itu menuntut pengorbanan masa, tenaga dan emosi, baginya tanggungjawab itu ialah sumbangannya kepada anak bangsa demi kesejahteraan negara tercinta.
"Kadang-kadang dua hingga tiga hari saya tak balik rumah, tetapi alhamdulillah anak saya faham. Dia kata dia bangga dengan perkara yang saya buat kerana membantu orang lain. Itulah rahmat terbesar yang Allah kurniakan," katanya yang mempunyai seorang anak berusia 17 tahun.
Seorang lagi pengajar, Junaidah Jaafar, 53, berkata tugasnya bukanlah sekadar rutin 8 pagi hingga 5 petang, tetapi menuntut kesiapsiagaan berdepan dengan pelbagai situasi seperti klien sakit atau kecemasan pada waktu malam.
“Bila-bila masa kita perlu hadir untuk mereka. Kalau kita tidak peduli, siapa lagi nak jaga mereka?" katanya.
Junaidah berkata pengalaman paling menyentuh hati baginya ialah ketika bertemu bekas klien di luar pusat pemulihan yang kini lebih sihat dan penampilan baik, namun tidak segan untuk menegur meskipun pernah menjalani proses pemulihan di Puspen.
Namun, katanya tidak semua kisah berakhir indah apabila ada klien yang kembali ke kancah penagihan selepas pulih, dan beliau sendiri pernah menahan seorang bekas klien ketika bertugas di bahagian penguatkuasaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Saya sangat sedih kerana dulu (dia) nampak begitu bersemangat untuk memulakan hidup baharu, tetapi tekanan hidup menariknya kembali ke kancah lama,” katanya dan menambah cabaran besar pengajar ialah tidak berputus asa meskipun kecewa melihat klien kembali terjebak dengan dadah.
“Kekuatan kita ialah kekuatan mereka. Sebab itu di sini kita diajar untuk melihat klien dengan kaca mata yang berbeza. Kalau kita pun tidak mampu melihat mereka dari sudut positif, bagaimana pula dengan masyarakat di luar?" katanya.
Sementara itu, Pengarah Puspen Sepang Shamsul Anuar Mohamad Saleh berkata bagi mempelbagaikan perkhidmatan pemulihan, AADK memperkenalkan Sepang Eco-Challenge and Outdoor Recovery Park (i-Score) pada 2023 untuk melibatkan klien dalam aktiviti rekreasi, diajar mengurus kewangan serta memanfaatkan tanah dan sumber untuk projek rekreasi.
Taman rekreasi seluas 19.6 hektar itu menjalankan aktiviti pembinaan pasukan, sukan air dan kemudahan 15 all terrain vehicle (ATV) yang bukan sahaja memanfaatkan klien, tetapi juga untuk masyarakat melihat mereka sebagai insan biasa yang ingin berubah.
"Selalunya masyarakat ada stigma terhadap klien, tetapi apabila mereka datang ke sini, mereka akan melihat sendiri bahawa klien juga boleh berfungsi seperti orang lain.
“Klien menjadi fasilitator, pemandu aktiviti, malah menyertai operasi penyelenggaraan. Tugas ini memberikan pengalaman menang-menang, iaitu klien mendapat keyakinan dan masyarakat pula belajar menerima mereka," katanya.
Shamsul Anuar menegaskan pemulihan klien ialah proses sepanjang hayat dan masyarakat perlu terus memberikan sokongan tanpa berputus asa.
Beliau berkata antara perancangan masa depan ialah menambah baik kemudahan rekreasi termasuk penginapan lebih kondusif bagi peserta luar, penambahan aktiviti sukan air seperti kayak dan jet ski serta meningkatkan bilangan kemudahan rekreasi untuk menarik penyertaan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial