Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kejayaan Jelajah Kayuhan Beca Merdeka 2025 Perlu Diiktiraf MBR

02/09/2025 08:47 PM

MELAKA, 2 Sept (Bernama) -- Kejayaan Persatuan Beca Persona Melaka menamatkan Jelajah Kayuhan Beca Merdeka 2025 seharusnya diabadikan dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata usaha lima pengayuh berusia antara 22 hingga 66 tahun, dengan dua beca yang menjelajah seluruh Semenanjung selama 62 hari itu perlu direkodkan secara rasmi kerana ia adalah momen sejarah yang julung kali dilakar sempena sambutan Hari Kebangsaan. 

“Kami akan berbincang dengan pihak MBR untuk melihat sama ada kejayaan kayuhan beca Melaka sejauh 2,500 kilometer (km) yang bermula dari Menara Taming Sari dan berakhir di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir pada 1 Julai hingga 30 Ogos lepas boleh direkodkan sebagai sebahagian daripada sejarah negara. 

Ad Banner

“Kami percaya ini adalah satu pencapaian dan rekod yang seumpamanya dilakukan oleh pengayuh beca di negara ini khususnya dari Melaka,” katanya selepas merasmikan Majlis Aspirasi dan Penghargaan Jelajah Beca di JAPERUN Kota Melaka Kampung Morten di sini hari ini. 

Beliau berkata projek seumpamanya itu perlu diiktiraf kerana ia bukan sahaja menjadi platform menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat sempena menyambut Hari Kebangsaan tetapi juga mempromosikan Melaka sebagai negeri pelancongan.

“Sambutan meriah yang diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat dan kaum di setiap hentian membuktikan rakyat di negeri lain teruja melihat beca Melaka, malah saya anggap sepanjang tempoh 62 hari itu, pengayuh-pengayuh ini adalah hero dalam mempromosikan semangat kecintaan negara dan warisan Melaka,” katanya. 

Ad Banner

Sementara itu, Khoo berkata rakyat perlu diberi ruang dan peluang tersendiri untuk mengekspresikan rasa cinta kepada negara khususnya ketika sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. 

“Kami sebagai pemimpin, hanya perlu menyokong dan beri bantuan sekiranya diperlukan oleh mereka ini. Sebagai contoh, projek Jelajah Kayuhan Beca Merdeka 2025 ini sepenuhnya diatur oleh persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dan mereka berjaya melaksanakannya. 

“Jadi kami galakkan rakyat sendiri yang anjurkan program atau aktiviti kerana ini mampu menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya. 

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Beca Persona Melaka Rosli Md Zin berkata susulan kejayaan projek kayuhan itu, beliau yang juga seorang daripada peserta jelajah, kini sedang merangka satu lagi projek besar yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun. 

“Kami sudah ada rancangan, namun biarlah ia dirahsiakan terlebih dahulu. Cuma yang pasti, ia akan melibatkan ahli pasukan yang sama. Pada masa sama, sudah tentu kami mengharapkan sokongan pelbagai pihak terutama kerajaan negeri, kepimpinan kawasan dan ahli persatuan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan