KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Awam (UA) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) tahun ini mendapat sambutan menggalakkan dengan sejumlah 5,537 permohonan diterima daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi fasa pertama pengambilan.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata program rintis itu bermula pada 10 Jun lepas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang masing-masing menawarkan 100 dan 60 tempat pengajian.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 3,519 orang memohon kemasukan ke bidang Sains manakala 2,018 orang memohon untuk mengikuti bidang Sains Sosial," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Wong berkata sejumlah 269 pelajar ditawarkan mengikuti program itu dan setakat 31 Julai lepas, sebanyak 126 pelajar telah menerima tawaran dan kini menyambung pengajian di kedua-dua institusi berkenaan, masing-masing 73 di UKM dan 53 di USM.
Menjawab soalan Senator Datuk Sivaraj Chandran, Wong berkata program itu bukan sekadar penjenamaan semula tingkatan enam, sebaliknya dilaksanakan dengan syarat kemasukan yang ketat bagi melahirkan pelajar berkemahiran berfikir aras tinggi serta bersedia menghadapi cabaran teknologi digital dan ekonomi global.
“Program ini menekankan kelayakan masuk yang amat ketat, selain memenuhi syarat kelayakan asas tingkatan enam, calon juga perlu memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam SPM 2024 dan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) sebanyak 80 ke atas,” katanya.
Wong berkata pelajar program itu mengikuti sukatan pelajaran dan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang sama seperti tingkatan enam biasa, namun diberikan pendedahan kepada suasana pembelajaran di kampus universiti yang menjadi antara nilai tambah utama program berkenaan.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Senator Tiew Way Keng, Wong berkata KPM masih dalam proses menilai keberkesanan program rintis ini sebelum membuat sebarang keputusan mengenai peluasan ke universiti awam yang lain.
“Kita masih dalam perbincangan dengan universiti-universiti awam yang terbabit dan sekiranya ada keputusan akhir, pihak KPM akan berbincang ataupun mengumumkan keputusan itu supaya pada tahun hadapan anak-anak kita daripada peringkat lepasan SPM boleh membuat permohonan,” katanya.
Mengenai laluan pelajar selepas tamat STPM di UKM dan USM, Wong menjelaskan bahawa mereka masih perlu memohon melalui Unit Pengambilan Universiti (UPU) seperti calon lain jika ingin melanjutkan pengajian ke universiti, tetapi diberi keutamaan sekiranya memenuhi syarat kelayakan.
“Kelebihan utama pelajar program ini ialah mereka akan ditandakan sebagai pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Awam dan dari situ diberikan keutamaan sekiranya layak," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial