Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Reformasi MITRA Berjaya Dilaksanakan Di Bawah Kepimpinan Anwar - Ramanan

02/09/2025 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) telah berjaya direformasikan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan hala tuju yang lebih jelas, telus dan berkesan untuk pembangunan masyarakat India, khususnya golongan B40.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata di bawah kepimpinan Anwar, Pasukan Petugas Khas MITRA telah ditubuhkan bagi mengawal selia dan memantau setiap program yang dilaksanakan di bawah agensi terbabit.

“MITRA kini nampak lebih bebas dan telus jika dibandingkan dahulu. Inilah reformasi sebenar yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI terhadap MITRA. Jika dahulu, jarang sekali kita mendengar apa-apa penjelasan kerajaan mengenai MITRA ataupun SEDIC (nama lama MITRA).

Ad Banner

“… tetapi Kerajaan MADANI sekarang tidak melindungi sebarang perkara berkaitan MITRA. Setiap program dan penerima manfaat juga akan disenaraikan menerusi laman web MITRA, tidak seperti sebelum ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) MITRA di Dewan Negara hari ini.

Mengenai isu ketiadaan wakil kaum India untuk menyuarakan isu komuniti terbabit, Ramanan berkata Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa suara dan aspirasi masyarakat India tidak pernah diketepikan kerana ia disalurkan melalui MITRA, wakil Rakyat, Senator dan pelbagai mekanisme konsultasi yang ada.

Malah, katanya Anwar adalah satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang memberikan ruang cukup bebas dan terbuka untuk bersuara dan memberikan padangan termasuk isu berkaitan komuniti India yang akan diberi perhatian sewajarnya dalam proses merangka dasar dan pelaksanaan inisiatif kerajaan.

Ad Banner

Sementara itu, beliau berkata jumlah kelulusan peruntukan MITRA telah mencecah RM62.28 juta atau 62.3 peratus setakat 15 Ogos lepas daripada RM100 juta yang disediakan untuk tahun ini.

Ramanan berkata Perdana Menteri telah memberi kelulusan untuk melaksanakan 23 program di bawah inisiatif Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) yang memberi tumpuan kepada tiga bidang utama pembangunan masyarakat India iaitu pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan serta kesejahteraan sosial.

“Peruntukan pembangunan untuk masyarakat India di negara ini bukanlah terhad kepada RM100 juta semata-mata, tetapi turut merangkumi pelbagai peruntukan lain yang disalurkan melalui pelbagai kementerian dan agensi yang meliputi semua kaum.

“Kerajaan MADANI juga sentiasa terbuka untuk menilai semula struktur pentadbiran MITRA, termasuk cadangan untuk menaikkannya menjadi sebuah agensi dengan kuasa yang lebih besar bagi memastikan setiap cadangan penambahbaikan akan memberikan kesan yang efektif terhadap sistem penyampaian MITRA,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan