Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dua Petugas TNB Pilih Salur Bantuan SARA Kepada Golongan Memerlukan

03/09/2025 09:08 AM

Oleh Muhammad Adzhar Tajuddin

IPOH, 3 Sept (Bernama) -- Prihatin terhadap nasib golongan memerlukan, dua kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak tampil menyalurkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang diterima mereka dengan membeli Kotak SARA Rahmah.

Abu Bakar Ismail, 40, berkata beliau berharap rezeki berkenaan dapat dikongsi bersama mereka yang kurang berkemampuan menerusi inisiatif anjuran Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) itu.

Ad Banner

“Kami masih ada gaji tetap bagi menyara keluarga, jadi lebih baik wang ini digunakan untuk membeli Kotak SARA Rahmah.

“Bagi saya, selain berkongsi rezeki, diharapkan usaha kecil ini mampu membantu meringankan beban mereka yang lebih memerlukan,” katanya kepada Bernama di Pasar Raya Besar MYDIN Meru Raya di sini.

Abu Bakar berkata tindakan beliau itu juga adalah secara sukarela kerana memikirkan nasib mereka yang hidup dalam kesempitan.

Ad Banner

“Itu lebih bermakna daripada membelanjakan sumbangan tunai yang diterima untuk benda yang bukan keperluan mendesak,” katanya yang telah berkhidmat di TNB selama 17 tahun.

Sementara itu, rakannya, Abdul Hafiz Mohamad Yusof, 41, berkata beliau terdorong menyertai inisiatif berkenaan kerana percaya ia boleh menjadi gerakan masyarakat yang proaktif untuk membantu insan yang amat memerlukan.

“Kalau setiap yang berkemampuan dapat bantu seorang individu memerlukan, kita boleh cipta gelombang kebaikan. Itu yang saya harap boleh dicetuskan dan diikuti lebih ramai individu untuk bersama-sama memanjangkan bantuan SARA diterima kepada golongan memerlukan,” katanya.

Beliau yang berasal dari Tanjung Rambutan, dekat sini berkata inisiatif itu bukan sahaja meringankan beban mereka yang memerlukan, malah membuka peluang rakyat untuk mengamalkan budaya prihatin.

“Yang penting bukan jumlah, tetapi keikhlasan hati. Kalau kita buat dengan ikhlas, ia boleh memberi kekuatan kepada mereka yang menerima,” katanya.

Abdul Hafiz berkata menyumbang melalui kotak makanan itu juga adalah cara untuk menzahirkan rasa syukur.

“Kalau saya sendiri berada dalam keadaan tidak berkemampuan, tentu besar ertinya apabila ada orang hulur bantuan seperti ini,” katanya.

Pada 30 Ogos lepas, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh menggalakkan penerima yang tidak berhasrat menggunakan sumbangan tunai itu supaya menyalurkan kepada golongan memerlukan.

Fuziah berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama MYDIN juga akan menyediakan kaunter khas dan van bergerak untuk mendaftarkan sesiapa yang mahu menderma dengan syarikat itu menyasarkan penyediaan 200,000 kotak SARA Rahmah untuk diagihkan kepada penerima terpilih.

Bantuan SARA berjumlah RM100 secara sekali beri mula disalurkan 31 Ogos melalui MyKad, memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dengan peruntukan RM2 bilion.

Ia diberikan kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira kategori B40, M40 atau T20 dan boleh ditebus secara tanpa tunai di pasar raya terpilih menggunakan MyKad masing-masing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan